Penghantaran pulang mahasiswa Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) ke kediaman masing-masing akan dilaksanakan mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menurut Naib Canselor UNIMAS, Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi, pihaknya turut merangka panduan keselamatan lain bagi memastikan keselamatan mahasiswa berada pada tahap optimum.

“Kita juga menyediakan satu garis panduan bagi persiapan pelajar untuk dihantar pulang ke kampung halaman masing-masing setelah pihak kami mendapat kelulusan daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT)

“Di UNIMAS terdapat sekitar 3,200 penuntut yang tidak berkesempatan untuk pulang (ke rumah) semasa cuti semester Mac lepas sebelum bermulanya perintah kawalan pergerakan (PKP)," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Ahad.

Tambahnya, penghantaran pulang ini juga akan melibatkan 300 mahasiswa yang mendiami kawasan luar kampus.

Menyentuh mengenai maklumat mahasiswa, Mohamad Kadim memberitahu, pihak universiti telah pun menjalankan kaji selidik bagi mendapatkan perincian mereka seperti alamat dan sebagainya.

Bagi urusan penghantaran pula, beliau berkata, keutamaan akan diberikan kepada penuntut yang mendiami kawasan zon hijau atas sebab terdapat kebenaran bagi pergerakan di kawasan tersebut.

Beliau turut memberi jaminan bahawa penghantaran mahasiswa ke kawasan lain termasuk di luar bandar akan diteruskan secara berperingkat bagi memastikan urusan ini berjalan dengan lancar.

“Mereka akan menaiki bas dan semestinya perlu melalui saringan terlebih dahulu. Dalam masa sama, mereka akan dibekalkan makanan sebelum bertolak menuju ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) masing-masing untuk melaporkan diri,” katanya lagi.

Pada Jumaat, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan penuntut Insitusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS) di bawah KPT, dibenarkan pulang ke kampung halaman masing-masing secara berperingkat bermula Isnin ini.