Universiti Selangor (UNISEL) menafikan pensyarah institusi berkenaan terlibat dalam gabungan 115 ilmuan yang mengeluarkan kenyataan menyeru rakyat memberi sokongan penuh kepada kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pengarah Komunikasi Korporat UNISEL, Hasril Abu Hassan, berkata dakwaan pensyarah atau institusi berkenaan terlibat dalam gabungan itu adalah tidak benar.

"Merujuk kepada laporan berita bertajuk '115 ilmuan PhD seru sokongan pada Muhyiddin' yang tersebar di beberapa portal media Malaysia yang melibatkan UNISEL, pihak kami ingin menyatakan bahawa berita tersebut adalah tidak benar.

"Ilmuwan kami tidak pernah dilibatkan dengan sokongan tersebut. Oleh yang demikian, tidak timbul isu bahawa ilmuwan daripada UNISEL menyokong atau tidak menyokong.

"Jika ilmuwan UNISEL dimaksudkan adalah Prof Madya Dr Mohd Fuad Salleh, kenyataan tersebut adalah tidak benar kerana beliau telah tamat perkhidmatan di UNISEL pada 31 Januari lalu, membawa maksud segala sokongannya itu tidak ada kaitan dengan UNISEL," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

UNISEL menafikan pensyarah institusi berkenaan terlibat dalam gabungan 115 ilmuan yang mengeluarkan kenyataan menyokong kerajaan.

Media sebelum ini melaporkan, seramai 115 ilmuan daripada lebih 25 institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/S) termasuk UNISEL, selain Institut Pendidikan Guru (IPG), menyeru rakyat memberi sokongan penuh kepada kerajaan pimpinan Muhyiddin.

Dalam kenyataan media gabungan ilmuan doktor falsafah (PhD) itu pada Jumaat, mereka turut meminta rakyat memberi peluang kepada Perdana Menteri mengemudi negara sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Gabungan itu turut meminta semua pihak akur kepada sistem politik Malaysia yang berteraskan kedaulatan Raja-Raja, keluhuran perlembagaan dan sistem demokrasi berparlimen selain menghentikan usaha yang boleh menggugat kestabilan politik.