UniSZA kampus universiti pertama di pantai timur sedia aplikasi tanpa tunai

UniSZA kampus universiti pertama di pantai timur sedia aplikasi tanpa tunai
Warga UniSZA boleh menggunakan eDompet sebagai kaedah pembayaran tunggal untuk semua pembelian di kampus universiti itu. - Gambar fail
KUALA NERUS: Warga Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) kini boleh menggunakan eDompet sebagai kaedah pembayaran tunggal untuk semua transaksi di dalam kampus universiti itu.

Langkah itu menjadikan UniSZA kampus tanpa tunai atau 'cashless campus' pertama di Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Pusat Komunikasi Korporat UniSZA pada Ahad, langkah itu adalah bagi mencapai matlamat UniSZA untuk menjadi Kampus Tanpa Tunai terunggul lagi inovatif, bermula dengan mentransformasikan semua perkhidmatan di dalam kampus supaya lebih mudah diakses secara digital.
"Pelajar dan kakitangan UniSZA di tiga kampus iaitu Kampus Gong Badak, Kampus Besut dan Kampus Perubatan (Kuala Terengganu) boleh membuat pembayaran menggunakan eDompet di kedai terpilih tanpa kesulitan pembayaran secara tunai atau kad debit dan kad kredit," menurut kenyataan itu lagi.

Antara kelebihan menggunakan eDompet sebagai kaedah pembayaran adalah aplikasi eDompet ini boleh dimuat turun dengan mudah dari App Store atau Google Play.

"Proses pendaftaran sebagai pengguna adalah sangat mudah dan setelah selesai pendaftaran, pengguna boleh membuat pemindahan atau penambahan wang tunai melalui kad debit, kad kredit Visa dan Mastercard atau melalui perbankan dalam talian.

"Seterusnya pengguna dapat menggunakan eDompet di mana-mana kedai yang mempunyai Kod QR (tertakluk kepada Kod QR yang didaftarkan dengan syarikat pengendali eDompet di Malaysia)," katanya.

Selain itu, tambah kenyataan itu lagi, pengguna eDompet juga boleh menikmati pelbagai fungsi digital seperti pembelian baucar untuk pembelian secara digital, penambahan kredit untuk talian prabayar, penghantaran wang tunai ke eDompet yang didaftarkan dengan syarikat pengendali eWallet yang sama, pengeluaran wang tunai ke akaun bank.

-- BERNAMA