Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) memeterai kerjasama strategik dengan Anthlone Institute of Technology (AIT), Ireland bagi mengembangkan aktiviti pendidikan antara kedua-dua institusi.

Naib Canselor UniSZA, Prof Datuk Dr. Ahmad Zubaidi Abdul Latiff, berkata pihaknya akan memberi tumpuan kepada program pertukaran mahasiswa antara dua universiti serta pertukaran tenaga pengajar dan para penyelidik.

"Selain itu, kerjasama tersebut juga meliputi pertukaran maklumat dalam bidang akademik dan penerbitan, selain berkerjasama dalam persidangan antarabangsa," katanya ketika ditemui selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara UniSZA dan AIT, di Hotel Istana, Kuala Lumpur.

Menurutnya lagi, pihaknya turut menjalin kerjasama dalam projek-projek penyelidikan bagi menyuntik lebih banyak elemen inovasi dan teknologi dalam menghasilkan produk lebih berkualiti antara kedua-dua buah negara.

UniSZA diwakili oleh Naib Canselornya dan disaksikan oleh Pengarah Pusat Antarabangsa,Cornelius Anuar Abdullah Mc Afee manakala AIT pula diwakili Presiden, Prof. Ciaran O Cathain.

Turut hadir ialah Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) UniSZA, Briged Jeneral Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarudin bin Hussein.

Pada majlis yang sama turut diadakan MoU antara UniMAP Holdings dan AIT.
______________________________________________________________________________________

*Awani Rangers ialah inisiatif Astro Awani bagi menggalakkan pelajar Institut Pengajian Tinggi untuk berkongsi cerita serta menghasilkan bahan berita dan informasi dalam era kewartawanan moden.