Unit Dana Bumiputera bakal dilancarkan pada Perhimpunan Agung UMNO bulan depan.

Ia adalah insiatif Pemuda UMNO berdasarkan resolusi yang diputuskan di Konvensyen Dana Bumiputera yang berlangsung di ibu negara pada Sabtu.

Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun yang akan mengetuai unit tersebut berkata penubuhan itu bertujuan membantu mengumpul pangkalan data pemohon yang membuat pinjaman dari pelbagai agensi kerajaan.

"Pergerakan Pemuda UMNO akan melancarkan unit baharu di ibu pejabat pergerakan UMNO yang dipanggil Unit Dana Bumiputera.

"Kita akan jadikan ia tempat untuk kumpul pangkalan data pemohon dan memastikan permohonan tersebut berjalan lancar dengan agensi berkaitan.

"Di samping itu, kita juga beri khidmat nasihat kepada permohonan yang dibuat," kata Khairul pada sidang media selepas Konvensyen Dana Bumiputera di sini.

Menurutnya, mengikut belanjawan 2016, Pemuda UMNO mengenal pasti lebih 10 kementerian dan lebih 18 agensi di bawah kementerian tersebut yang menyediakan dana berkenaan.

"Unit Dana Bumiputera dijangka akan mula beroperasi sepenuhnya pada Januari 2016

"Ia akan menjadi satu portal informasi, dan juga untuk pemohon mengisi maklumat mengenai permohonana mereka secara atas talian dan kita akan ada pautan pada agensi-agensi yang kita telah kenal pasti dengan itu, kita boleh lihat kesesuaian permohonan mereka.

"Ini boleh menyelesaikan secara tidak langsung masalah 'tidak sempadanan antara pemohon dan agensi, iaitu isu yang dibangkitkan sebelum ini oleh peserta," katanya.

Jelasnya lagi, konvensyen itu turut menyaksikan panel perbincangan yang membangkitkan isu maklumat dari pihak kerajaan yang tidak sampai ke golongan sasar.

Antara cadangan dari hasil perbincangan adalah untuk pihak agensi membangunkan platform media sosial dan laman web terutamanya di Facebook, Twitter dan blog dan menjadikannya platform yang efektif dan sentiasa dikemas kini.

Hadir pada majlis penutup konvensyen tersebut adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Wahid Omar yang menerima rumusan perbincangan konvensyen daripada pihak penganjur.

Dalam ucapannya, Wahid berkata, beliau akan membuat penelitian dengan lebih lanjut bersama agensi-agensi lain.

Wahid juga menekankan sikap golongan usahwan muda yang perlu mempunyai sikap proaktif tersendiri serta menggunakan platform media sosial dengan lebih efektif.