Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menubuhkan Unit Risikan bagi mengumpul dan memproses maklumat sebelum sesuatu tindakan secara fizikal seperti operasi diadakan ke atas pengguna jalan raya.

Ketua Pengarahnya, Datuk Shaharuddin Khalid berkata, unit kendalian Bahagian Penguatkuasa yang akan beroperasi tahun depan itu berperanan memastikan setiap tindakan penguatkuasaan yang dilakukan tepat kepada kumpulan sasar berdasarkan risikan yang dilakukan sebelumnya.

"Unit ini diwujudkan sabagai kesinambungan kepada hasrat kerajaan untuk menyelesaikan kes-kes penguatkuasaan undang-undang jalan raya berkaitan pelesenan pemandu, memandu laju serta memandu di lorong kecemasan secara lebih holistik.

"Maklumat hasil risikan unit ini akan dilapor terus kepada Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan melalui Pengarah Bahagian Penguatkuasa sebelum tindakan penguatkuasaan seperti operasi khas dilaksanakan," katanya pada sidang media sempena 100 hari menerajui JPJ di sini, hari ini.

Beliau turut melancarkan ‘Warkah Tadbir Urus JPJ Ke Arah TN50’, iaitu dokumen yang dirangka khusus untuk penjenamaan semula jabatan itu dalam mencapai agenda Transformasi Negara 2050 (TN50) dan penubuhan Unit Risikan adalah antara transformasi tersebut.

Shaharuddin berkata, usaha menambah baik perkhidmatan JPJ turut melibatkan penubuhan Unit Perhubungan Antarabangsa dengan skop utama penugasannya ialah mencetus dan memperkukuh hubungan dua hala jabatan itu dengan agensi penguatkuasaan serupa negara serantau khususnya yang mempunyai hubungan langsung berkaitan keselamatan jalan raya seperti Singapura, Thailand, Brunei dan Indonesia.

Ketika ini, katanya hubungan JPJ dengan negara berkenaan terbatas kepada soal automotif iaitu Sistem Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) dan melalui hubungan yang bakal dijalin pelbagai tindakan proaktif boleh dilakukan dalam mengorak langkah penguatkuasaan undang-undang jalan raya.

Berhubung aspek penguatkuasaan, beliau berkata, jabatan itu komited melakukan transformasi agar dikenali sebagai agensi yang mendidik masyarakat mengenai kepentingan pematuhan undang-undang untuk kebaikan mereka, bukannya kekal dilabel sebagai 'agensi tahan dan denda' sebagaimana tanggapan ramai ketika ini.

Dalam konteks memartabatkan perkhidmatan pelanggan, Shaharuddin berkata, JPJ akan memperkenalkan lebih banyak perkhidmatan dalam talian, antaranya buku Kurikulum Pendidikan Pemandu (KPP) bakal berubah daripada manual kepada e-book bermula Mac 2018, inisiatif yang diyakini dapat menangani masalah kekurangan buku itu yang sering timbul ketika ini.

"Walaupun perkhidmatan dalam talian diperkenalkan, perkhidmatan di kaunter, khususnya di cawangan JPJ di luar bandar dikekalkan atas kesedaran kita mengenai keupayaan capaian telekomunikasi di kawasan tersebut," katanya.

Shaharuddin turut mengumumkan JPJ melalui Akademi Pengangkutan Jalan dan Malaysia Institute of Transport (Mitrans) Universiti Teknologi Mara (UiTM) telah mencapai persetujuan untuk menawarkan pengajian peringkat diploma kepada kakitangan jabatan itu, tahun depan.

Beliau berkata, sebagai permulaan, pengajian dalam bidang Eksekutif Pengurusan Pengangkutan dan Penguatkuasaan yang akan memulakan sesi pengambilan pertama pada September 2018 itu hanya akan melibatkan seramai 30 peserta daripada warga JPJ yang tidak memiliki taraf pendidikan diploma.

Sebaik program pengajian ini bermula, Akademi JPJ akan dijadikan hab pendidikan berkaitan pengangkutan jalan yang terulung di negara ini, terutamanya dalam kalangan anggota penguat kuasa termasuk daripada pihak berkuasa tempatan, katanya.

-- BERNAMA