Universiti awam perlu mengoptimumkan sumber intelektual dengan menghasilkan penyelidikan yang memberi impak besar bagi menarik minat syarikat swasta untuk menyumbang dana.

Ketua Kluster Ekonomi dan Pengurusan Majlis Profesor Negara Datuk Dr Noor Azlan Ghazali berkata ia bagi membolehkan universiti awam kekal berdaya saing walaupun peruntukan untuk Kementerian Pendidikan Tinggi dalam Bajet 2017 dikurangkan.

Malah, Noor Azlan yang juga Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia UKM) berkata langkah itu selaras dengan hasrat kerajaan melalui Pelan Pembangunan Pengajian Tinggi yang mahu setiap universiti awam menjana pendapatan sendiri.

"Kualiti kajian yang dibuat oleh universiti atau sarjana kita amat penting. Jika ia boleh mencipta kekayaan maka, pastinya ada pihak bukan kerajaan yang turut serta menyumbang dana," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjadi panel dalam Diskusi Pasca Bajet 2017 anjuran Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia di sini, pada Ahad.

Sambil memberi contoh UKM, katanya Yayasan Sime Darby yang mengendalikan ladang kelapa sawit sehingga kini sudah menyumbangkan lebih RM20 juta dana kepada UKM bagi penyelidikan berkaitan teknologi bahan buangan. -- BERNAMA