Universiti Malaya ke-27 Ranking Universiti Ekonomi Pesat Membangun

Universiti Malaya ke-27 Ranking Universiti Ekonomi Pesat Membangun
UM akan terus menumpukan kepada pengukuhan asasnya menerusi beberapa fasa daripada Pelan Strategiknya. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Universiti Malaya (UM) kini berada di tangga ke-27 daripada 378 universiti dalam Ranking Universiti Ekonomi Pesat Membangun (EEUR) Times Higher Education (THE) 2018.

Menurut ranking yang dikeluarkan 9 Mei lepas, Universiti Peking dan Universiti Tsinghua dari China masing-masing berada di ranking pertama dan kedua sementara UM dimahkotakan sebagai universiti dengan prestasi terbaik di  negara ini.
Dalam satu kenyataan, Naib Canselor UM Datuk Abdul Rahim Hashim berkata inilah kali pertama UM menyertai sistem ranking ini.

"UM akan terus menumpukan kepada pengukuhan asasnya menerusi beberapa fasa daripada Pelan Strategiknya. UM menyasarkan untuk meningkatkan hubungan dan kerjasama dengan industri strategik dan rakan kongsi antarabangsa," katanya.

Kaedah ranking EEUR menggunakan lima indikasi teras -- pengajaran, kajian, pemetikan, prospek antarabangsa dan hasil industri.

-- BERNAMA