Universiti nombor satu di Malaysia, Universiti Malaya (UM) kini disenaraikan di kedudukan ke-13 di Asia

Pencapaian ini merupakan sejarah bagi universiti tertua negara itu berbanding di tangga ke-24 yang dicapai pada 2018.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik kekal berkata, ranking berkenaan dikeluarkan oleh Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings: Asia 2020 yang dikeluarkan pada Rabu.

Beliau berkata, peningkatan ketara turut berlaku bagi Universiti Teknologi Mara (UiTM) iaitu pada kedudukan 119 pada 2020 berbanding 158 (2018).

Sementara Universiti Malaysia Pahang (UMP) pula menduduki di tangga ke 290 pada tahun 2018, telah meningkat ke tangga 134 pada tahun 2020.

BACA: UM is now 13th in Asia

BACA: UPM kukuh kedudukan dalam QS World Asia Rankings 2020

Menurut Maszlee, pencapaian itu adalah hasil daripada usaha pembaharuan holistik yang telah dilakukan semenjak tahun 2018.

“Selain kedudukan universiti secara keseluruhan, kementerian juga berpandangan bahawa kedudukan sesebuah universiti boleh juga dilihat berdasarkan pengkhususan subjek.

“Universiti Malaya misalnya berada pada kedudukan ke-15 dunia dalam bidang kejuruteraan atau engineering berdasarkan U.S. News and World Report.

“Kementerian sentiasa mengambil semua langkah yang perlu untuk meletakkan universiti awam dan universiti swasta di peta dunia,” katanya semasa menjawab soalan Datuk Aaron Ago Dagang (GPS-Kanowit) yang meminta Kementerian Pendidikan menyatakan jumlah universiti dan pelajar di Malaysia pada tahun 2019 dan ranking universiti-universiti.



Maszlee berkata, pelbagai inisiatif telah dilakukan ke arah tujuan tersebut yang dilakukan secara tidak konvensional dan secara radikal.

Pada masa ini terdapat 20 buah universiti awam (UA) dan sehingga 31 Disember 2018 terdapat 452 buah institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS).

Pada tahun 2018, bilangan enrolmen pelajar di UA adalah seramai 552,702 orang dan 576,982 orang pelajar di IPTS.

Berdasarkan laporan QS World University Rankings 2020 yang dikeluarkan pada 19 Jun lalu, UM berjaya disenaraikan di antara 70 universiti terbaik di dunia berbanding di tempat ke-114 pada tahun 2018.