Tutup

Universiti sebagai pemetaan bakat akademik dan pembangunan kesarjanaan

Universiti sebagai pemetaan bakat akademik dan pembangunan kesarjanaan
Dr Mahathir menyampaikan anugerah kepada Zakri pada majlis malam tadi. Turut kelihatan, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching (kiri) dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Datuk Ir Dr Siti Hamisah Tapsir (kanan). --fotoBERNAMA
SERI KEMBANGAN: Universiti harus berperanan sebagai pemangkin dan penggalak kepada pencarian ilmu atau digelar sebagai pemetaan bakat akademik dan pembangunan kesarjanaan, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata pendidikan tinggi merupakan landasan untuk mencetus kreativiti dan menjana inovasi untuk kelangsungan negara, justeru itu institusi pendidikan tinggi ditubuhkan di semua negeri supaya budaya ilmu dapat dikembang secara menyeluruh dan bersifat inklusif.
"Selain daripada mendidik anak bangsa, institusi pendidikan tinggi juga berperanan memberi khidmat kepada masyarakat setempat.

"Keterlibatan institusi pendidikan tinggi dengan masyarakat dapat dilihat melalui sumbangan mereka dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh masyarakat," katanya berucap pada Majlis Anugerah Akademik Negara ke-13 di Hotel Palace of The Golden Horses di sini.
Dr Mahathir berkata Inisiatif seperti Service Learning Malaysia - University For Society memberi peluang kepada penuntut untuk menyumbang kepada masyarakat dengan mengaplikasikan teori yang dipelajari di dalam kelas untuk menyelesaikan permasalahan sebenar dalam komuniti.

Jelasnya melalui iniasitif itu, pengetahuan, inovasi dan teknologi yang dibangunkan oleh penuntut, ahli akademik dan penyelidik di IPT boleh dipindahkan kepada masyarakat.

Pada masa sama ia perlu dikomersialkan agar dapat memberikan manfaat secara langsung kepada komuniti dalam usaha menyokong pembangunan sosioekonomi negara.

"Era Revolusi Industri 4.0 mendedahkan bidang akademik kepada keadaan yang lebih mencabar. Kehadiran apa yang digelar sebagai disruptive technology (teknologi pengganggu) memerlukan ahli akademik yang mempunyai wawasan, bersedia berubah bersesuaian dengan cabaran-cabaran baharu serta mempunyai kebijaksanaan untuk kekal relevan.

"Melihat kepada kepantasan perubahan-perubahan yang dibawa oleh Revolusi Industri 4.0, ahli-ahli akademik juga perlu cepat menangani perubahan serta mampu melakukan pendekatan-pendekatan yang memastikan pelajar kita tidak ketinggalan," kata Dr Mahathir.

Dr Mahathir berkata kerajaan Pakatan Harapan meletakkan bidang pendidikan sebagai teras utama dalam pembinaan Malaysia baharu yang inklusif dan gemilang di persada dunia.

"Malaysia kini merupakan antara destinasi pilihan utama untuk pelajar antarabangsa. Kerajaan mengambil berat usaha-usaha meningkatkan kecemerlangan ahli akademik melalui aktiviti pengajaran, penyeliaan, penyelidikan, penulisan ilmiah, khidmat pakar dan perundingan.

"Semakin tinggi keupayaan dan kemahiran ahli akademik secara langsung pelajar yang dididik akan menjadi pelajar yang unggul dan berkemampuan," katanya.

Pada majlis itu Dr Mahathir turut menyampaikan anugerah Tokoh Akademik Negara 2019 kepada ahli akademik, Prof Emeritus Tan Sri Dr Zakri Abdul Hamid dari Universiti Kebangsaan Malaysia.

-- BERNAMA