Sindiket penyeludupan dikesan bertindak berani mengupah penduduk tempatan serta pelajar sekolah untuk menyalurkan maklumat pergerakan pasukan keselamatan di sempadan.

Boleh dikategorikan sebagai tonto versi tidak agresif, mereka ini menerima bayaran serendah RM50 sehari untuk memberi maklumat kepada sindiket penyeludupan.

Timbalan Ketua Pengarah (Strategik) Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (Aksem) Mohd Ridzzuan Mohd Zain berkata kegiatan tonto kini semakin licik malah mempunyai jaringan komunikasi yang luas.

"Memang setiap kali kenderaan pasukan keselamatan keluar dari pejabat, mereka (sindiket penyeludupan) akan tahu.

"Kalau di Bukit Kayu Hitam ini jaringan mereka luas...hampir setiap simpang ada orang," katanya ketika ditemui semasa liputan media eksklusif Op Benteng di sini.

Op Benteng adalah operasi khas di bawah Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) melibatkan beberapa pasukan keselamatan seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Aksem dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk mengawal ketat sempadan negara daripada dibolosi pendatang tanpa izin.

Meskipun berdepan cabaran tonto, Mohd Ridzzuan berkata Aksem akan terus melakukan operasi bagi memastikan tiada kemasukan pendatang tanpa izin serta barang terlarang.

"Aksem dengan pasukan keselamatan lain di bawah NTF akan berkongsi maklumat risikan dalam memastikan setiap operasi berjaya," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata kereta-kereta mewah juga digunakan sindiket penyeludupan untuk melakukan kegiatan menyeludup daun ketum serta barang terlarang lain.

"Ada kes kami tahan beberapa kereta mewah seperti Mitsubishi Lancer yang bawa ketum dan cuba diseludup...pelbagai cara digunakan sindiket untuk melakukan kegiatan penyeludupan," tambahnya.