Parti Pasok Momogun Kadazan Dusun Murut Bersatu (UPKO) mencadangkan kerajaan pusat untuk membuka kertas putih bagi menyiasat kes kematian Orang Asli daripada suku Batek di Kampung Kuala Koh, Pos Lebir, Gua Musang.

Presidennya Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata kertas putih itu akan membolehkan siasatan secara komprehensif dijalankan bagi mencari punca kematian masyarakat itu.

"Masyarakat Orang Asli merupakan masyarakat yang mandiri, tetapi ia tidak bermaksud mereka patut diberi perhatian yang kurang.

"Kes membabitkan kematian suku kaum Batek patut disiasat dengan serius," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Pesta Kaamatan UPKO Nasional 2019 di sini pada Sabtu.

Madius, yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, berkata ketika ini terdapat kajian yang dijalankan bagi mencari punca kematian masyarakat itu, khususnya oleh Universiti Kebangsaan Malaysia, namun masih belum ada penemuan yang boleh menjelaskan kes itu.

Masyarakat Orang Asli daripada suku Batek di Kuala Koh mula menjadi perhatian selepas 14 daripada mereka dilaporkan meninggal dunia.

Kementerian Kesihatan mengesahkan dua daripada 14 kematian yang melibatkan Orang Asli itu dalam tempoh sebulan lalu berpunca daripada jangkitan paru-paru, namun punca sebenar kematian akan diketahui hanya setelah beberapa ujian yang dilakukan selesai dalam masa terdekat.

-- BERNAMA