Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Malaysia (GPMS) Kedah berharap Kementerian Pendidikan memperkenalkan tempoh percubaan bagi pelaksanaan format baharu Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), terutamanya melibatkan kertas Bahasa Inggeris.

Pengerusinya Shamsul Bahar Abd Rani berpendapat pelajar dan guru mungkin tertekan dengan pengenalan format baharu ini memandangkan murid yang bakal menduduki UPSR tahun hadapan sudahpun membuat persediaan menggunakan format lama yang digunakan sekarang.

"Murid darjah lima sudah didedahkan dengan format tahun hadapan, jadi bila ada format baharu mereka perlu adakan persediaan," jelasnya ketika dihubungi Astro AWANI.

Shamsul juga meminta pihak kementerian mengambil kira soal kesediaan guru dan ibu bapa dalam melaksanakan format baharu tersebut.

"Faktor pertambahan subjek dan persiapan pelajar ini bukan sahaja melibatkan pelajar itu sendiri tetapi guru, ibu bapa dan masyarakat sekeliling," kata Shamsul.

Pada masa sama, beliau turut menyuarakan kebimbangan mengenai prestasi pelajar luar bandar yang secara perbandingannya tidak memperoleh keputusan Bahasa Inggeris sebaik pelajar di bandar.

Shamsul yang percaya matlamat meningkatkan kefasihan bahasa Inggeris hanya boleh dicapai melalui pertuturan seharian, melihat pengenalan format ini sebagai satu langkah ke hadapan dalam sektor pendidikan negara.

Begitupun beliau berharap keputusan ini tidak dibuat secara tergesa-gesa dan jika sudah diputuskan maka ia harus dilaksanakan secara jangka panjang.