Setiap kali menghadapi ujian penting di sekolah, pasti ahli keluargalah yang paling banyak memberi dorongan kepada pelajar untuk berjaya.

Namun bagi seorang anak yatim piatu dari Sekolah Kebangsaan Telaga Mas, di sini, dia tidak mempunyai kesempatan itu melainkan menumpang kasih ibu saudaranya setelah kedua ibu bapa meninggal dunia akibat kanser tiga tahun lalu..

Bagi Mohd Danish Amani Anuar, 12, dia mengulangkaji pelajaran tiga jam sehari sebagai persediaan menjawab Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bermula hari ini.

“Saya anak pertama daripada dua orang anak. Ibu dan ayah saya meninggal akibat kanser.

“Sekarang ini saya tinggal bersama ibu saudara saya. Selepas pemergian ibu dan ayah saya, saya hanya mampu bertawakal bagi menghadapi UPSR ini.

“Ibu saudara saya sentiasa memberi semangat kepada saya untuk mendapat 6A dalam ujian ini sebagai hadiah kepada ibu dan ayah saya yang telah meninggal dunia,” kata Mohd Danish.

Mohd Danish kini tinggal bersama ibu saudara di Kampung Bukit Teriak, Telaga Mas, sentiasa mengingati pesanan arwah ibu dan ayahnya supaya belajar bersungguh-sungguh dan menghormati guru.

Danish berkata setiap minggu sudah menjadi kelazimannnya pergi menziarahi pusara ibunya malah dia baru saja pergi 'berjumpa' ibunya Jumaat lalu untuk berdoa dan memberitahu bahawa dia akan menduduki UPSR.

Katanya walaupun dia ditakdirkan hidup dalam serba kekurangan, namun dia tetap bersemangat untuk mengejar cita-citanya sebagai doktor.


Sementara itu, seorang lagi rakannya, Muhammad Affa Ezzany Mohd Faizal turut bersemangat untuk menduduki UPSR walaupun datang daripada keluarga yang kurang berkemampuan.

Ibunya merupakan ibu tunggal, hanya memperolehi pendapatan RM600 sebulan dengan hasil jualan putu piring.

Anak sulung daripada tiga adik beradik ini tidak mampu mengambil kelas tambahan berbayar namun guru-guru banyak membantu dengan membuat kelas tambahan secara percuma di sekolah.

Mohd Danish dan Muhammad Affa merupakan antara 41 murid Sekolah Kebangsaan Telaga Mas yang menduduki peperiksaan UPSR yang bermula hari ini sehingga Khamis.