Semua pihak terutamanya pengusaha industri diberi amaran tegas supaya lebih bertanggungjawab menguruskan sisa toksik dan buangan terjadual berbahaya atau bersedia berdepan hukuman perundangan paling maksimum.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata amaran itu susulan penemuan lebih 1,000 tong dram dan 'jumbo bag' disyaki mengandungi bahan enap cemar minyak serta getah selain buangan pigmen dan campuran buangan toksik secara haram di kawasan seluas hampir satu hektar di Jalan Sijangkang Utama, Johan Setia di sini, semalam.

"Dua lot tanah itu diserbu Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor hasil risikan sejak sebulan lalu. Siasatan awal mendapati ia beroperasi sejak tiga bulan lepas iaitu semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

"JAS Selangor sedang membuat pensampelan ke atas kesemua bahan buangan tersebut untuk dianalisis Jabatan Kimia bagi menentukan jenisnya selain mengumpul bukti untuk menjejaki dan mendakwa pihak tidak bertanggungjawab itu," katanya pada sidang media selepas meninjau lokasi pembuangan sisa toksik haram terbabit, hari ini.

Turut meninjau lokasi pembuangan sisa toksik haram itu adalah Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi, dan Hal Ehwal Pengguna Selangor Hee Loy Sian, Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Dr Zaini Ujang dan Ketua Pengarah JAS Norlin Jaafar.

Tuan Ibrahim menegaskan JAS tidak akan sesekali berkompromi dengan sebarang elemen pencemaran dan beliau yakin pihak tidak bertanggungjawab itu akan dapat dijejaki dalam masa terdekat untuk dikenakan tindakan mengikut Seksyen 16,18,19, 34A, 34B dan Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Contohnya kata beliau, bagi kesalahan di bawah Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling, pihak yang didakwa boleh dihukum penjara mandatori dan didenda sehingga setengah juta ringgit, jika sabit kesalahan.

Pada masa sama kata Tuan Ibrahim, pihaknya juga mendapat kerjasama baik dengan kerajaan negeri Selangor bagi mengesan pemilik tanah lot berkenaan untuk dikenakan tindakan sewajarnya.

Dalam pada itu, Hee berkata lokasi yang menjadi 'mangsa' pembuangan sisa toksik haram itu berstatus tanah pertanian yang kedua-dua pemiliknya sudah dikenal pasti.

"Apa yang berlaku di sini telah melanggar syarat guna tanah. Oleh itu, Notis 7A di bawah Seksyen 127 Kanun Tanah Negara 1965 dikeluarkan kepada pemilik terbabit dan mereka harus bersedia berlakunya rampasan tanah jika tiada respons daripada kedua-dua pihak itu dalam tempoh sebulan dari tarikh notis," katanya.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata kerajaan dalam proses membina lima kemudahan pengurusan sisa bersepadu iaitu di Johor, Perak, Terengganu, Sabah dan Pulau Pinang bagi memastikan sisa buangan terjadual dapat diurus dengan lebih baik serta cermat.

Ditanya mengapa Selangor tidak dibina kemudahan sama memandangkan negeri ini mempunyai sektor industri yang sangat berkembang, beliau berkata pengusaha industri boleh memanfaatkan pusat pelupusan buangan terjadual di Negeri Sembilan kerana jaraknya tidak terlalu jauh.

Jelas beliau, ketiadaan pusat pelupusan buangan terjadual di setiap negeri bukan alasan wujudnya tapak pembuangan sisa kimia haram kerana ia lebih kepada sikap pengusaha industri atau syarikat pengangkut bahan itu yang tidak mementingkan penjagaan alam sekitar.

-- BERNAMA