Jabatan Pertanian Kedah meminta penduduk di sekitar kawasan tepi laut dekat Tebengau, Kuala Kedah yang di serang ulat bulu hitam agar tidak panik.

Menurut Pengarah Pertanian Kedah, Mohamed Bukhori Abdul Rahman, pihaknya telah mengarahkan pasukan khas dari unit “bio security” Jabatan Pertanian menyiasat punca kehadiran ribuan ulat bulu hitam 'naik hantu' di kawasan penempatan penduduk.

“Kita belum dapat maklumat yang lengkap tentang fenomena ini, jadi kita akan cuba dapatkan maklumat. Ulat ini kita akan hantar ke makmal, jadi kita nak tahu juga ulat seperti ini selalunya terdapat di kawasan bagaimana? di mana kawasan-kawasan terdapat ulat ini? Tetapi apa yang kita lihat pokok api-api inilah yang menjadi tempat habitat ulat ini buat masa sekarang,” kata Mohamed Bukhori kepada Astro AWANI, di sini, hari ini.

BACA: Kenduri kahwin bertukar gawat di Kuala Kedah, jutaan ulat jadi tetamu tak diundang


Katanya lagi, ini merupakan kejadian pertama di negeri Kedah serangan spesis ulat bulu hitam ini sehingga mengakibatkan ada di kalangan penduduk yang terkena cecair daripada ulat terbabit akan menjadi gatal dan alahan pada kulit.

Bagaimanpun untuk langkah pengawalan supaya ulat-ulat ini tidak membiak dan berterbangan ke kawasan penduduk beliau telah mengarahkan anggota untuk memulakan penyemburan racun serangga.

Kerja-kerja penyemburan akan dilakukan pada esok hari melibatkan kawasan sejauh satu kilometer sepanjang pantai yang terdapat pokok api api ini.

Semalam Astro AWANI melaporkan, ribuan ulat bulu hitam telah menyerang kawasan penempatan penduduk di Tebengau, Kuala Kedah sehingga menjejaskan majlis perkawinan yang berlangsung.

Akibat serangan ulat itu ramai tetamu jemputan terpaksa pulang lebih awal setelah kawasan khemah dipenuhi ulat berkenaan yang dipercayai datang dari pokok api-api di tepi laut.