Sumbangan kaum Sikh dalam kemajuan negara tidak boleh dipertikai sesiapa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, buktinya boleh dilihat pada nama-nama besar yang mewakili kaum itu dalam sistem pentadbiran negara.

"Ramai wakil kaum Sikh dalam sektor kerajaan dan menjawat jawatan tinggi. Mereka menunjukkan kesetiaan tinggi kepada kerajaan selama ini," katanya semasa berucap pada majlis sambutan tahun baru kaum Sikh, Vaisakhi di Gurdwara Sahib Petaling Jaya pada Ahad.

Turut hadir isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor, Presiden MIC, Datuk Seri G.Palanivel dan Presiden Gerakan, Tan Sri Koh Tsu Koon.

Pada majlis sama Najib turut mengumumkan bantuan kepada Badan Bukan Kerajaan (NGO) komuniti Sikh selain mengumumkan pembinaan tiga lagi Gurdwara di seluruh negara.

Sejak 2008, sebanyak 21 juta ringgit telah disalur untuk NGO mewakili komuniti Sikh di seluruh negara.