Sebagai langkah mencegah penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) daripada terus menular, pasar raya Econsave mengambil keputusan membasuh kesemua troli mereka di seluruh negara.

Pengurus operasi Econsave Bahagian Selatan, Mas Imran Adam, berkata terdapat 9,000 troli dan 1,800 bakul di 18 cawangan Econsave seluruh Johor.

Katanya, pihak pengurusan telah meminta semua 72 cawangan pasar raya tersebut membuat pembersihan troli dan bakul dalam tempoh dua hari iaitu hari ini dan esok.

"Kita basuh troli menggunakan cecair pembasmi kuman. Kita ikut arahan Kementerian Kesihatan dengan menggunakan nisbah satu liter cecair pembasmi kuman kepada sembilan liter air.

“Cecair tersebut kita sembur di troli dan bakul, terutamanya di bahagian pemegang dan tempat duduk awam.

“Untuk hari ini dan esok kita cuci semua troli. Selepas ini, kekerapan cucian tersebut akan dibuat mengikut keperluan,” kata Mas Imran ketika ditemui selepas operasi pembersihan troli di Econsave Taman Daya di sini.

Pekerja-pekerja Pasar Raya Econsave memberi tumpuan pada bahagian pemegang troli ketika melakukan kerja disinfeksi suci hama di Pasar Raya Econsave Taman Daya hari ini. - BERNAMA
Katanya, perkara yang melibatkan kanak-kanak menjadi isu sensitif dan perlu dijaga.

Tambahnya, pihaknya turut menyediakan cecair sanitasi tangan di setiap pintu masuk pasar raya untuk digunakan pelanggan dan juga pekerja.

Sementara itu, seorang pengunjung Econsave, Qistina Kamri, berkata tindakan pasar raya tersebut perlu dilakukan semua pasar raya.

Katanya, ia menambah keyakinan pelanggan yang membawa anak kecil untuk membeli-belah dengan selamat.

Sebelum ini, dilaporkan kes HFMD di Johor menunjukkan peningkatan sebangan 37 peratus.

Menurut Exco Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr Sahruddin Jamal, peningkatan itu dari 1,607 kes pada tahun lalu kepada 2,215 kes tahun ini.

Bagaimanapun, sehingga kini, tiada kematian yang dilaporkan akibat penyakit HFMD.