Usaha berterusan Malaysia untuk membantu pelarian Rohingya yang kini berlindung di Bangladesh mendapat pujian dan penghargaan daripada negara-negara anggota Kumpulan Lapan Negara Membangun (D8) khususnya oleh Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata malahan Erdogan, selaku Pengerusi Sidang Kemuncak D8 kesembilan yang berakhir di sini semalam, turut secara rasmi menyatakan komitmen untuk membantu pelarian Rohingya selain menekankan keperluan kepada negara Islam lain termasuk anggota D-8 supaya mengikuti jejak Malaysia untuk membantu dan menyelesaikan krisis etnik Rohingya itu.

"Presiden Erdogan telah mengulas panjang dalam ucapannya berhubung perkara ini dan beliau amat menghargai usaha yang dibuat pihak Malaysia dalam memberikan bantuan kemanusiaan kepada etnik Rohingya yang terpaksa meninggalkan kampung halaman.

"Beliau (Erdogan) juga telah memaklumkan bahawa isteri dan anak beliau turut telah mengadakan lawatan ke Kem Cox's Bazar Bangladesh dan ini telah memperlihatkan bukan sahaja komitmen secara rasmi beliau tetapi komitmen peribadi beliau untuk membantu," katanya kepada media Malaysia di sini pada Sabtu.

Ditanya mengenai langkah selanjutnya selepas ini, Ahmad Zahid mengakui usaha membantu masyarakat Rohingya itu mempunyai ranjau, bagaimanapun penyelesaian secara holistik tetap perlu dilakukan.

Katanya antara langkah awal adalah menyarankan supaya masyarakat antarabangsa memberikan tekanan kepada kerajaan Myanmar bagi membolehkan pelarian Rohingya itu kembali ke kampung halaman masing-masing.

Ahmad Zahid berkata dalam perbincangan tidak rasmi bersama Erdogan dan Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla di sini, beliau (Ahmad Zahid) turut menyarankan supaya bagi merealisasikan perkara itu satu pasukan pemantau antarabangsa perlu dibentuk bagi menjamin keselamatan para pelarian itu.

Menurutnya cadangan itu yang masih terlalu awal untuk dijadikan satu dasar akan dimaklumkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman untuk dibawa ke kabinet, dan selepas dipersetujui akan dapat disampaikan ke saluran antarabangsa berkaitan.

Ditanya mengenai hasil sidang kemuncak D8 pada kali ini, Timbalan Perdana Menteri berkata beliau berasa teruja kerana suara Malaysia dihormati dan malahan Malaysia bakal mengetuai kumpulan itu selama empat tahun bermula 1 Jan 2018 apabila bekas Duta Besar Malaysia ke Mesir, Datuk Ku Jaafar Ku Shaari akan menyandang jawatan Setiausaha Agung D8 yang baharu.

Menurutnya cadangan Malaysia supaya sektor pelancongan dipertingkatkan dalam kalangan anggota D-8 turut diterima dalam resolusi persidangan.

Ahmad Zahid yang mengetuai delegasi Malaysia pada sidang kemuncak berkenaan berkata selain itu Malaysia juga akan meneliti cadangan Turki untuk menambahkan komposisi keanggotaan kumpulan D8 bagi membolehkan lebih banyak negara mendapat manfaat.

"Mungkin pada masa depan ditambah sehingga ke 20 negara bagi memberikan ruang yang luas kepada negara-negara yang menjadi pemerhati selama ini untuk turut serta dalam jalinan kerjasama ekonomi dan perdagangan," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata negara-negara anggota D8 juga sedang menimbang saranan supaya kaedah sebulat suara seperti amalan sekarang tidak lagi diguna pakai dalam membuat keputusan sebaliknya cukup sekadar persetujuan yang berasas kepada suara majoriti.

"Dalam hal ini, Wisma Putra akan meneliti sepenuhnya cadangan itu," katanya.

Ditubuhkan pada 15 Jun, 1997, D8 ialah sebuah organisasi untuk kerjasama dalam sektor ekonomi lapan negara membangun terdiri daripada Turki, Bangladesh, Mesir, Indonesia, Iran, Nigeria, Pakistan dan Malaysia.

-- BERNAMA