Setiap pembangunan dan penubuhan sesebuah entiti yang diusahakan oleh Mara tidak wajar dipertikai tujuannya oleh mana-mana pihak, jauh sekali melabel ia sesuatu yang berat sebelah atau rasis.

Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah (KKLW) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Mara komited menjalankan peranannya sebagai agensi penggerak agenda transformasi negara.

Sehubungan itu Ismail Sabri menyeru seluruh warga kerja Mara agar mempertahankan asal usul penubuhan organisasi itu untuk kesinambungan generasi akan datang dalam mengangkat martabat bangsa.

"Sebagai kakitangan yang merupakan aset penting dalam menggerakkan organisasi, warga kerja Mara perlu menjadi agen transformasi organisasi dengan menumpukan kepada asas pembangunan usahawan dan modal insan.

"Warga Mara juga adalah agen yang menjadi penggalak penjanaan pendapatan Bumiputera selain bertanggungjawab dalam pengukuhan sosial korporat," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan majlis sambutan Hari Pekerja Mara Peringkat Kebangsaan 2016, di Institut Kemahiran Mara (IKM) Beseri di sini pada Jumaat.

Ismail Sabri turut mengingatkan warga kerja Mara untuk memastikan kesinambungan legasi kecemerlangan organisasi dengan meneruskan perjuangan dalam membantu bumiputera.

Turut hadir pada majlis itu Ketua Setiausaha KKLW Datuk Mohd Arif Ab Rahman dan Ketua Pengarah Mara Datuk Ibrahim Ahmad.

Mengenai perkembangan Universiti Mara (UniMARA), beliau berkata institusi itu akan memulakan pengajian pada Julai di bangunan milik Mara di Bukit Jalil.

Pengambilan pertama seramai 200 pelajar adalah dalam bidang pembangunan profesional, polisi awam dan kepimpinan serta kejuruteraan.