Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan usaha menangani rasuah ketika ini lebih mencabar berbanding zaman dahulu.

Katanya, jentera kerajaan dahulu lebih bersih biarpun tidak sepenuhnya bebas rasuah.

Malah, Dr Mahathir memberitahu, kerajaan kini sedang menggubal undang-undang serta tatacara bagi mengurangkan dan sekaligus menghapuskan rasuah di Malaysia.

“Masa saya jadi perdana menteri pada 1981, saya masuk keadaan jentera kerajaan bersih walaupun tak sepenuhnya.

"Kita dapati sebelum ini gejala rasuah seperti sesuatu yang digalakkan dengan cogan kata 'cash is king'.

“Maka kita dapati jentera kerajaan pun terlibat, dan ini memaksa kita untuk pilih serta tapis sebelum ambil tindakan.

“Kita tak boleh buang semua mereka yang kita syak nanti tiada pula jentera yang nak jalankan tugas dan arahan kita,” katanya semasa sidang media selepas menghadiri Program Taklimat Governans, Integriti dan Anti Rasuah bagi anggota pentadbiran dan ahli-ahli parlimen Pakatan Harapan.

Beliau pada masa sama turut menegaskan bahawa semua kepimpinan utama kerajaan Pakatan Harapan perlu menunjukkan contoh tauladan yang baik dalam usaha memerangi rasuah.