Usahakan tanaman lain, elak kebergantungan kepada sawit - LPP

Usahakan tanaman lain, elak kebergantungan kepada sawit - LPP
Mazlan berkata gabungan kepakaran yang dimiliki oleh LPP dan rizab tanah luas dimiliki Felda akan mampu menjayakan hasrat kerajaan itu. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) sedia memberikan kepakaran untuk tanaman alternatif kepada sawit terutama di kawasan Felda dan Felcra.

Menurut pengerusinya Datuk Mazlan Aliman, Felda mempunyai rizab tanah yang luas yang boleh diusahakan untuk tanaman baharu dengan tempoh hasil tuaian singkat.

“Melalui kerjasama LPP dan agensi berkaitan seperti Felda dan Felcra, kita akan cuba bangunkan tanaman baharu.

“Ia bagi mengurangkan kebergantungan kepada komoditi sawit.
“Felda dan Felcra mempunyai tanah yang sangat luas. Sebagai contoh, apabila Felda melakukan tanaman semula, ia mengambil masa tiga tahun untuk membuahkan hasil.

"Mengapa tidak kita tanam tanaman lain yang hasilnya boleh dituai dalam masa tiga hingga empat bulan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Mazlan berkata gabungan kepakaran yang dimiliki oleh LPP dan rizab tanah luas dimiliki Felda akan mampu menjayakan hasrat kerajaan itu.

“Kita akan mulakan projek perintis ini di Felda Sungai Tengi, Selangor sebelum bulan puasa ini,” katanya.

BACA: Pekebun kecil perlu cari tanaman alternatif selain kelapa sawit

Pada Sabtu, Menteri Industri Utama Teresa Kok berkata pekebun kecil dan syarikat perladangan di negara ini disaran mencuba tanaman lain yang mempunyai prospek pasaran yang lebih baik bagi menggantikan kelapa sawit.

Ia susulan kelemahan harga komoditi itu di pasaran antarabangsa.

Menurutnya, antara tanaman yang dilihat mempunyai permintaan yang tinggi termasuk kelapa, nanas, dan buluh.