Sifat semulajadi kaum wanita yang kreatif dan berdaya saing memberi kelebihan kepada golongan itu untuk bertahan dengan cabaran dalam dunia perniagaan.

Ketua Wanita UMNO Sabah, Datuk Jainab Ahmad berkata, ia terbukti apabila ramai usahawan wanita di negara ini berjaya mengukuhkan perniagaan mereka setanding golongan lelaki walaupun hanya menerusi industri kecil dan sederhana (IKS).

"Sekarang, usahawan wanita tempatan yang terdiri daripada suri rumah dan ibu tunggal mula mendominasi bidang perniagaan khususnya secara kecil-kecilan seperti kraftangan tradisional dan makanan.

"Ia merupakan perkembangan positif dan saya berharap usahawan wanita di negeri ini akan terus berusaha mengembangkan perniagaan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian semasa siri Jelajah Siri Jelajah Wanita UMNO Negeri Sabah di Zon 5 dan 6 di Kunak.

Dalam pada itu, Jainab berkata, usahawan wanita perlu membuka minda agar lebih peka dengan teknologi digital dalam bidang perusahaan dan pemakanan.

“Saya juga menggesa agar para usahawan memanfaatkan teknologi digital untuk memajukan lagi bidang keusahawanan yang diceburi.

“Adalah tidak mustahil sekiranya teknologi ini dikuasai sepenuhnya, ia bukan sahaja menjimatkan masa, tenaga dan wang bahkan berupaya melipatgandakan keuntungan dan mengembangkan produk mereka," katanya.