Dua lelaki ditemui maut, manakala seorang cedera setelah dipatuk ular berulang kali kerana mengusik sarangnya.

Perkara ini disahkan Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan Jimmy Panyau berdasarkan rakaman percakapan rakan mangsa, serta laporan bedah siasat.

"Terdapat kesan patukan ular di beberapa bahagian badan mangsa, dan tiada kecederaan luaran.

Katanya, semasa berada di hutan, ketiga-tiga mereka telah menjumpai satu sarang ular di bawah sepohon kayu.

"Dua mangsa yang maut mengusik sarang tersebut sebelum diserang oleh ular hingga mereka bertempiaran menyelamatkan diri.

"Mangsa yang selamat juga dipatuk beberapa kali hingga menyebabkan tidak dapat bergerak.

Jimmy berkata, pihaknya bagaimanapun masih menyiasat kes tersebut.

Mangsa dikatakan telah memasuki hutan bersama-sama empat rakannya untuk mencari buah asam paya.

BACA: Dua pencari asam paya ditemukan mati di hutan Mukah

"Setelah tiga jam berada di hutan tersebut, mereka telah keluar dari hutan untuk menghantar hasil.

"Bersama-sama dua rakannya, mangsa kemudian masuk semula ke dalam hutan untuk mencari semula buah asam sebelum terjumpa sarang tersebut.

Mayat mangsa ditemui sekitar jam 11.15 pagi tadi setelah satu operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan apabila polis menerima laporan kehilangan daripada ibu salah seorang mangsa.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii, berkata, mangsa pertama ditemui selepas lebih tiga jam gerakan SAR dilancarkan.

“Mangsa ditemui setelah pasukan SAR meredah jalan berpaya sejauh dua kilometer di hutan Bedanga di sini.

“Mangsa pertama iaitu Stanley Saka, 21 tahun, ditemui tidak bernyawa di bawah sepohon pokok manakala mangsa kedua, Lawrence Jinal, 40 tahun, ditemui di kawasan tanah lapang berjarak 60 meter dari mangsa pertama dalam keadaan lemah.

Kata Ling Hii lagi, mangsa ketiga yang identitinya hanya dikenali sebagai Duwat Jabu, 23 tahun, ditemui kira-kira 50 meter dari mangsa kedua juga, telah meninggal dunia.

“Lawrence dikeluarkan oleh pasukan SAR pada jam 12.35 tengah hari dan segera dikejarkan ke Hospital Mukah.

“Mayat Stanley pula dikeluarkan pada jam 2 petang manakala Duwat 10 minit kemudian.