Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan lima institusi pendidikan di Maghribi pada Jumaat untuk mengukuhkan lagi kerjasama antarabangsa dengan universiti dan institusi pendidikan di negara Afrika Utara itu.

Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan berkata, kelima-lima universiti itu ialah University of Al Sultan Maulai Sulaiman Bani Mallal, University of Ibn Tufail Qunaitirah, University of Al Hasan Al Thani Muhammadiyyah, University of Al Qadhi Iyyadh dan Darul Hadith Alhasaniah.

Upacara pemeteraian MoU itu berlangsung di Maghribi, melibatkan Timbalan Naib Canselor USIM (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan dan rakan-rakan sejawatannya dari Maghribi.

Turut menyaksikan upacara itu ialah Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datin Paduka Dr Siti Hamisah Tapsir.

MoU itu memberi tumpuan antara lain kepada pertukaran pelajar, pensyarah, kakitangan pentadbiran untuk mempelajari bahasa Arab, kerjasama dalam program pengajian Islam, program bersama dalam pengawasan terhadap program 'post graduate' (Sarjana dan Doktor Falsafah), penyelidikan mengenai Hadis di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah.

"USIM komited untuk menjadi yang terbaik dalam tiga bidang dari segi program dan penyelidikan akademik. Bidang-bidang itu ialah Pengajian Islam, Al-Quran dan Sunnah, Sains Islam, Teknologi dan Kejuruteraan, Kesenian Islam, Sains Sosial dan Kemanusiaan.

"MoU ini adalah inisiatif Kementerian Pendidikan dengan USIM untuk memperluaskan rangkaian kerjasama antara Universiti di Malaysia dan Maghribi. Perkongsian kepakaran pensyarah juga diserlahkan dalam MoU ini terutama dalam Sains, Pengajian Islam dan Bahasa Arab," katanya.

Kementerian Pendidikan berharap rangkaian kerjasama ini dapat mengukuhkan hubungan antara Malaysia dan Maghribi pada masa depan, kata kenyataan itu.

-- BERNAMA