Bagi mendepani cabaran Revolusi Industri ke-4 (4IR), Universiti Sains Malaysia (USM) bakal menilai semula kurikulum sedia ada bagi kursus yang ditawarkan, terutamanya dalam bidang komunikasi.

Menurut Timbalan Naib Canselor, Prof Datuk Dr Adnan Hussein, ini bagi memastikan penuntut universiti diberi persediaan secukupnya sebelum memasuki dunia pekerjaan.

"Persediaan ini penting supaya pelajar yang menjadi graduan akan dapat menyesuaikan diri dengan kehendak industri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri acara IMPACT 2017 kelolaan Pusat Pengajian Komunikasi di Universiti Sains Malaysia di sini, hari ini.


Acara tahunan tersebut diadakan bagi menghimpunkan pengamal media serta warga akademik untuk membincangkan isu terkini dalam bidang media massa.

Turut hadir, Pro Canselor USM, Tan Sri Mustafa Mansur yang mengucapkan tahniah kepada penganjur kerana dapat menghimpunkan penyertaan dari beberapa negara di rantau Asia Tenggara seperti Thailand dan Indonesia.


"Namun, saya berharap Pusat Pengajian Komunikasi akan membuka penyertaan kepada lebih banyak negara di masa hadapan.

"Ini termasuk Australia, Japan dan negara-negara lain di Asia," katanya.