Lelaki yang digelar 'Ustaz Kasanova' hari ini dihukum penjara 12 bulan dan enam kali sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini kerana melakukan persetubuhan luar nikah dengan seorang wanita di sebuah hotel di sini.

Hakim Syarie Nassir Abd Ghani memerintahkan Mohd Razis Ismail, 34, menjalani hukuman bermula pada 29 Feb lalu iaitu tarikh kali pertama dia didakwa di mahkamah.

Dalam penghakimannya, Nassir berkata mahkamah telah mengambil kira rayuan tertuduh dan juga faktor dia mengetahui akibat perbuatannya itu.

Mahkamah juga mengambil kira Mohd Razis yang berkahwin sebanyak 13 kali dan mempunyai 11 isteri itu dilihat mengaibkan institusi agama Islam dan institusi kemasyarakatan selain kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius, katanya.

"Mahkamah juga mengambil kira faktor kepentingan awam kerana tertuduh sebelum ini menggunakan imej 'Ustaz' untuk mengaburi dan memperdaya ramai wanita.

"Perbuatan tertuduh menjadi viral sehingga diberi gelaran tidak sepatutnya oleh media massa sehingga memperlihatkan imej buruk terhadap agama," kata Nassir.

Jenayah syariah

Mohd Razis didakwa melakukan kesalahan terhadap wanita itu sehingga melahirkan anak di sebuah hotel di sini antara Mac dan Mei 2012 dan mengikut Seksyen 23(1) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.

Di Mahkamah Rendah pula, Hakim Syarie Mohd Saifullah Hamzah menangguhkan hukuman ke 17 Mac ini terhadap Mohd Razis yang mengaku bersalah atas tiga pertuduhan cuba berpoligami tanpa kebenaran mahkamah dengan tiga wanita lain berumur 24, 35, dan 30 tahun dan dua pertuduhan lain.

Dia didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di Kedah; Golok, Thailand, dan di sebuah flat di Jalan Loke Yew di sini antara 4 April 2010 dan 26 Ogos 2012 mengikut Seksyen 133 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Bagi dua pertuduhan lagi dia didakwa bernikah dengan wanita berumur 24 dan 40 tahun itu tanpa mendapat kebenaran pendaftar mahkamah mengikut Seksyen 40(2) akta yang sama, pada 4 April 2010 dan 26 Mei 2012.

Pendakwaan dilakukan Pendakwa Syarie Kanan Zainor Rashid Hassin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Anak kembar

Salah seorang daripada isteri tertuduh yang hadir di mahkamah memberitahu media bahawa beliau telah berkahwin dengan tertuduh pada 2012 dan dikurniakan sepasang kembar kini berumur empat tahun.

"Ketika berkenalan, suami saya memperkenalkan dirinya sebagai seorang Imam di sebuah masjid di Australia. Kami berkahwin dalam majlis yang lengkap, tetapi selepas berkahwin baru saya mengetahui dia mempunyai isteri-isteri lain," katanya.

Beliau kemudian bertindak membuka akaun Facebook menggunakan nama tertuduh dan memuatnaik gambar perkahwinan mereka.

Katanya, selepas itu isteri-isteri tertuduh yang lain memberitahunya mereka juga adalah isteri kepada Mohd Razis.