Umat Islam di negeri ini meminta pendakwah terkenal, Datuk Mohammad Kazim Elias menarik balik keputusannya untuk tidak muncul dalam mana-mana program agama yang disiarkan di kaca TV.

Mereka menganggap keputusan yang diambil oleh pendakwah yang lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim itu sebagai satu keputusan yang terburu-buru yang boleh merugikan umat Islam yang selama ini mengkagumi kebolehan beliau ketika berceramah sehingga mampu menarik ribuan penonton.

Menurut mereka, Ustaz Kazim perlu terus berdakwah meskipun terpaksa menghadapi pelbagai ujian dan rintangan kerana ujian itu sentiasa ada dan ia merupakan satu perkara biasa yang harus ditempuhi dengan tabah.

Seorang guru, Zambry Mat Ali berkata beliau sentiasa mengikuti agenda dakwah yang dibawa oleh Ustaz Kazim yang dianggapnya begitu baik dan berjaya menarik ribuan penonton untuk mengikuti ceramahnya.

"Saya merasakan Ustaz Kazim perlu meneruskan agenda dakwah beliau dan inilah satu-satu cara untuk menyebarkan Islam.

"Teknik penyampaian dia menarik penonton-penonton jadi saya rasa ini satu kerja dakwah yang baik dan perlu diteruskan."

BACA: Ustaz Kazim umum tarik diri berceramah di televisyen

Seorang kerani swasta, Erdayu Abdul Rani berpendapat Ustaz Kazim tidak wajar menarik diri untuk muncul dikaca TV kerana beliau mempunyai ribuan peminat yang sentiasa mengikuti ceramahnya di kaca TV.

"Pada pendapat peribadi saya, tidak wajar beliau membuat keputusan untuk menarik diri melakukan ceramah di media cetak atau media elektronik.

"Ia menjadi satu kerugian kerana jarang ada penceramah yang boleh tarik menarik pendengar daripada golongan muda, remaja dan ramai sanggup datang mendengar ceramah daripada beliau.

"Saya harap Ustaz Kazim sendiri menarik baliklah keputusan beliau. Biasalah sebagai pendakwah, orang kata ujian itu sentiasa ada dan sokongan kami tetap pada Ustaz Kazim."

Bagi seorang pembantu makmal, Amirul Hamdan, berpendapat ceramah Ustaz Kazim boleh dijadikan sumber pelarajan kerana ia memberi manfaat besar kepada umat Islam dan berharap pendakwah terkenal itu dapat meneruskan agenda dakwahnya.

"Kalau kita tengok ceramah Ustaz Kazim di TV ataupun mana-mana sumber video, ia boleh menjadi satu sumber pelajaran.

"Sebab mungkin kita tidak ada masa hendak dengar ceramah macam saya dengan isteri pun kita orang selalu tengok dia punya slot 'Kalau Dah Jodoh', jadi sama-sama kita orang boleh belajar daripada situ.

"Kalau ditamatkan secara langsung ini susahlah kalau nak cakap memang tidak ada sumber mahu belajar dah."

Bagi seorang pekerja swasta, Adzlin Md Fuad, tindakan terburu-buru yang diambil Ustaz Kazim itu boleh merugikan umat Islam sedangkan agenda dakwah beliau sentiasa mendapat sokongan besar umat Islam di negara ini.

"Pada pendapat saya sendiri, Ustaz Kazim tidak wajar berhenti memberi caramah kerana ilmu yang diberikan sangat berguna kepada golongan kita semua terutamanya umat Islam dan lain-lain.

"Saya mohon Ustaz Kazim tarik balik keputusan untuk berhenti memberi ceramah dikaca TV, siaran secara langsung."

Sementara itu Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir ketika ditanya pemberita mengenai isu Ustaz Kazim berkata, beliau mahu pendakwah terkenal itu terus berdakwah demi untuk kebaikan umat islam di negara ini.

"Orang seperti Kazim dapat memainkan peranan. Kita lihat umpamanya dia dalam caranya sebagai juru dakwah itu mereka mat-mat rempit yang dalam pakaian mereka biasa sanggup untuk datang mendengar ceramah Kazim.

"Ini kelebihan yang ada padanya dan kita sepatutnya menggunakan kesempatan untuk bersama-sama bersifat terbuka untuk sama-sama membantu dalam usaha kita untuk memberikan yang terbaik kepada masyarakat Islam kita."

Sebelum ini Ustaz Kazim mengumumkan untuk tidak muncul dalam mana-mana program agama yang disiarkan stesen televisyen selepas ini.

Katanya, beliau juga menarik diri sebagai penceramah dalam mana-mana rancangan TV.

Beliau membuat pengumuman itu kepada media sebaik selesai mengambil bahagian buat kali terakhir sebagai salah seorang ahli panel dalam Forum Perdana Hal Ehwal Islam bertempat di Padang Astaka SMK Dato' Kamarudin, Batu Kurau pada Khamis.