Hubungan baik antara Malaysia dan Jepun kini tidak seharusnya menjadi alasan untuk memberi apa saja yang mereka minta, seperti mana isu tugu peringatan tiga askar Jepun yang dianggap sebagai wira baru-baru ini.

Menurut Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong, atas kesedaran itu, satu usul akan dibawa kepada Persekutuan Wushu Malaysia untuk diadakan bantahan secara besar-besaran kepada pihak kerajaan termasuk Jepun berhubung isu tersebut.

Ujarnya, usul itu akan dibawa oleh Presiden Persekutuan Wushu, Tarian Naga dan Singa negeri Perak, Datuk Mah Hang Soon.

“Apabila askar Jepun ni dah menakluki satu-satu jajahan, yang didera ialah orang Tanah Melayu pada masa itu. Jadi ini adalah satu hakikat. Tak kira Melayu, Cina atau India, berpandangan yang sama.

“Jadi saya rasa, apa pula justifikasi Pakatan Harapan di Kedah ni nak mengagung-agungkan ‘wira’ Jepun yang tiga orang ni. Saya rasa ini tak kena dengan fakta. Sejarah pun sudah tidak betul.

“Jadi, (untuk) menyedarkan masyarakat Malaysia, harus kita sampaikan (pendirian) menerusi satu proses secara besar-besaran. Jangan kerana hubungan rapat dan mesra dengan Jepun sekarang ini, apa yang mereka minta, kita bagi,”ujar Ka Siong.

Baru-baru ini, pejabat Konsulat Jepun di Pulau Pinang telah memulihkan sebuah tugu peringatan setinggi 1.8 meter bagi mengenang kejayaan Komandan Platun Leftenan Hajima Asahi dan dua askar Jepun lain.

Ia tular setelah berlaku kesilapan teknikal mengenai perkataan ‘wira’ yang tercatat pada papan maklumat tugu tersebut.

Kesilapan itu timbul apabila syarikat yang mencetak papan maklumat serta kain rentang itu salah menterjemah maklumat yang disediakan pihak Konsulat Jepun.