Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berharap usul memansuhkan Akta Anti-Berita Tidak Benar 2018 dapat dibentangkan pada sidang pertama Dewan Rakyat, yang dijadualkan 25 Jun ini.

Bagaimanapun, katanya lagi, proses penyediaan dokumentasi serta mendapatkan nasihat Jabatan Peguam Negara mungkin akan memakan masa dua hingga tiga bulan, dan sekiranya tidak sempat dibentangkan pada sesi pertama, mungkin pada sesi seterusnya.

“Perlu teliti tiga jenis keadaan sebelum memansuhkan akta ini, iaitu melihat sama ada, terdapat orang yang telah ditangkap melalui akta ini; kedua, mereka yang yang telah dituduh dan apa yang berlaku serta sekiranya undang-undang ini tidak dipakai adakah terdapat undang-undang lain yang boleh diguna pakai.

“Kementerian sedang melihat kembali akta itu, serta mendapatkan pandangan dari Jabatan Peguam Negara. Ini bukan satu proses yang mudah, sekiranya tidak sempat ia akan dibawa pada sidang Parlimen akan datang,” katanya kepada sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke RTM dan Bernama di sini, hari ini.

Mengenai kebebasan melaporkan berita, Ahli Parlimen Puchong itu berkata, rakyat perlu faham dalam pemberitaan, tiada mana-mana kebebasan yang tiada had.

“Kita ada undang-undang, dan dari segi sivil dan jenayah, untuk laporan yang tak benar dan sebagainya. Kita juga ada kod penal, tetapi kita akan melihat kembali undang-undang ini, mungkin juga membuat pindaan bagi memastikan ia lebih relevan di masa kini,” katanya lagi.

Gobind sekali lagi menegaskan media di zaman pemerintahan Kerajaan Pakatan Harapan tidak akan dihalang untuk melaporkan berita daripada pihak Barisan Nasional, atau mana-mana pihak.

“Saya akan sokong laporan yang relevan kepada isu semasa kerana suara pembangkang juga sangat penting dalam proses membina pemikiran yang matang. Kita kena lihat dan dengar tak kira mana-mana pihak sekali pun.

“Saya rasa kita perlu tegakkan polisi, bahawa media itu seharusnya dilihat sebagai suara rakyat dan suara kuasa keempat,” katanya ketika mengulas mengenai peranan media untuk mengimbangi tiga cabang demokrasi kehakiman, eksekutif dan legislatif.