Usul menamakan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 6 atau 7 Ogos depan.

Bagaimanapun, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming menegaskan, Pejabat Speaker Dewan Rakyat masih belum menerima sebarang cadangan nama daripada pihak pembangkang.

Beliau pada masa sama mengalu-alukan pembangkang mengemukakan nama-nama calon untuk menduduki kerusi Pengerusi PAC seiring Manifesto Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14.

"Berdasarkan jadual, satu usul akan dibawa untuk menamakan Pengerusi PAC dan timbalannya. Jika ikut jadual Mesyuarat Parlimen, perkara ini akan dibawa sama ada pada 6 atau 7 Ogos depan.

"Jadi, saya rasa kita masih ada masa untuk mengendalikannya. Beri peluang kami lakukannya dengan baik," kata Nga ketika ditemui di Pusat Media Parlimen di sini hari ini.

Mengikut kelaziman, Pengerusi PAC akan dilantik daripada kalangan Ahli Parlimen Kerajaan sementara Timbalan Pengerusi PAC dilantik daripada kalangan pembangkang.

Nama Ketua Pembangkang Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi disebut-sebut bakal menggalas jawatan tersebut.

Bagaimanapun, beliau yang mengesahkan masih tidak menerima sebarang surat akan mengadakan perbincangan dengan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan Pas.