Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) tidak akan berkompromi terhadap sebarang isu plagiat dan integriti akademik di universiti itu khususnya melibatkan staf dan pelajarnya, kata Naib Canselor UTeM, Prof Dr Raha Abdul Rahim.

Beliau berkata sebarang salah laku akademik berkaitan integriti dalam warga universiti akan diambil tindakan mengikut Akta 605 - Akta Badan-badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000.

Katanya, ini kerana aspek integriti seharusnya menjadi tunjang utama dalam keperibadian seorang ahli akademik yang merupakan suri teladan kepada pelajar yang diselia.

"Tindakan pantas dan tegas yang diambil oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dalam menangani isu ini amat bertepatan kerana salah laku akademik ini bukan sahaja memberi reputasi buruk kepada pengurusan akademik tetapi turut menjejaskan kredibiliti universiti itu sendiri.

"Justeru golongan akademik hendaklah sentiasa peka dan sedar akan garis panduan serta peraturan berkaitan etika penyelidikan dan penerbitan agar kesarjanaan ilmu tersebut tidak tercemar," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Raha berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malek bahawa tindakan tegas berhubung dakwaan isu plagiat dan integriti akademik akan diambil dengan membawa perkara itu ke muka pengadilan.

Semalam, sebuah akhbar melaporkan peguam menteri itu sedang meneliti setiap kes berkaitan untuk dibawa ke muka pengadilan bagi memastikan mereka yang terlibat dihukum serta-merta.

Mengulas lanjut, Raha berkata UTeM menitikberatkan aspek integriti dan etika dalam kalangan warga akademik melalui pemantauan Bahagian Integriti di bawah pengurusan Pejabat Penasihat Undang-Undang, Garis Panduan Pengurusan Penyelidikan yang dikeluarkan oleh universiti, Polisi Penyelidikan 2014, Peraturan Akademik Pascasiswazah 2013 serta Garispanduan Penyediaan Tesis, Disertasi dan Projek Sarjana 2013 yang meliputi hal berkaitan penyelidikan, penerbitan, integriti dan plagiat.

Beliau berkata UTeM turut menyediakan saluran aduan rasmi kepada para pelajar dan staf bagi mengemukakan sebarang isu berkaitan kepada pihak pengurusan tertinggi.

"Sistem e-Aduan UTeM terbuka kepada semua warga dan ia boleh diakses melalui laman sesawang universiti dan aduan berkaitan isu itu menjadi keutamaan dalam usaha penambahbaikan berterusan," katanya. -- Bernama