Pasukan ragbi Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) atau lebih dikenali dengan 'Black Owl' mempamerkan prestasi yang memberangsangkan apabila pasukan berstatus 'underdog' itu berjaya menempatkan diri ke Separuh Akhir Bowl Ragbi 7 sebelah bagi Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) yang melabuhkan tirai pada 10 Februari yang lalu.

Pasukan Black Owl yang terdiri daripada 12 mahasiswa dari bidang Pengajian Kejuruteraan dan Teknikal di UTHM itu giat menjalankan persiapan fizikal dan taktikal sejak bulan November tahun lalu.

Pelbagai siri pemilihan dijalankan oleh pihak pengurusan pasukan dan menjadikan beberapa kejohanan terbuka sebagai platform pemilihan ahli pasukan yang berkelayakan.

Menurut pembantu jurulatih, Hidayat Zahari, pencapaian bagi kejohanan Ragbi 7 sebelah SUKIPT tahun ini merupakan permulaan yang positif bagi pasukan itu untuk terus melebarkan sayapnya menewaskan lawan.

"Permulaan yang amat baik bagi pasukan ini apabila berjaya tampil agresif pada awal kejohanan dengan menjuarai kumpulan dengan menundukkan Universiti Tun Abdul Razak dan City Universiti sekali gus berjaya melayakkan diri ke suku akhir untuk bertemu pasukan UiTM Lions.

"Walaupun tewas dengan UiTM Lions dan terkandas di Separuh Akhir Bowl, saya merasakan keputusan ini positif bagi pasukan yang baru dibentuk mendapat suntikan pendedahan daripada salah seorang jurulatih ragbi negara, Hamrizal Hamdan.

"Pembangunan dan pembentukan mahasiswa di UTHM dalam bidang sukan tidak mampu direalisasikan tanpa sokongan serta dokongan pihak pusat sukan selain pihak pengurusan tertinggi UTHM.

"Usaha ini harus diteruskan dalam membentuk mahasiswa yang holistik selaras dengan tagline 'UTHM Produces Professionals'," tambahnya lagi.

_________________________________________________________________

*Laporan ini disediakan oleh Awani Rangers, Mohd Zulfadli Rozali dan Nurul Adlihisham Mohd Sohaimi dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM). Suntingan oleh Puan Suriayati Binti Baharom.

**Awani Rangers ialah inisiatif Astro Awani bagi menggalakkan pelajar Institut Pengajian Tinggi untuk berkogsi cerita serta menghasilkan bahan berita dan informasi dalam era kewartawanan moden.

***Awani Rangers UTHM ialah inisiatif kerjasama strategik Astro Awani dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia(UTHM).