Tutup

UTHM mahu kuota sedia ada program matrikulasi dikekalkan

UTHM mahu kuota sedia ada program matrikulasi dikekalkan
Menurut Wahid (kiri), isu ini tidak perlu diperbesarkan kerana selain matrikulasi terdapat beberapa laluan alternatif lain ke institut pengajian tinggi. --fotoBERNAMA/Fail
BATU PAHAT: Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mahu kuota sedia ada untuk program matrikulasi dikekalkan bagi membolehkan pelajar-pelajar bumiputera memasuki institusi pengajian tinggi.

Naib Canselor UTHM Prof Dr Wahid Razzaly berkata sebagai salah sebuah institusi pengajian tinggi negara, UTHM akan sentiasa membantu negara mencapai agenda nasional iaitu memperbetulkan ketidakseimbangan ekonomi melalui wadah pendidikan terutamanya dalam bidang sains, teknologi dan profesional.
Beliau berkata warga universiti itu menyokong penuh pendirian kementerian yang ingin mengekalkan kuota kemasukan pelajar Bumiputera dan bukan Bumiputera bagi program Matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

"Semua pihak perlu berbincang mencari persetujuan bersama bagi mengenalpasti laluan alternatif lain yang boleh menarik pelajar menceburi pendidikan yang berkonsepkan pembelajaran sepanjang hayat bagi mengelakkan keciciran.
"Isu ini tidak perlu diperbesarkan kerana terdapat beberapa laluan alternatif lain ke institut pengajian tinggi antaranya melalui program asasi, Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan juga diploma," katanya menerusi kenyataan, pada Rabu.

Menurut Wahid, terkini UTHM dilantik oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) sebagai Pusat Penilaian Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (Accreditation of Prior Experiential Learning) iaitu sebagai sebuah pusat yang menyaring kelayakan individu bekerja yang berhasrat menyambung pengajian ke peringkat Sarjana Muda di mana-mana institut pengajian tinggi tempatan.

"Laluan ini memberi ruang dan peluang kepada individu bekerja yang tidak mengikuti sebarang program asasi atau matrikulasi untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi," katanya.

-- BERNAMA





Tag: Wahid Razzaly, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, UTHM, matrikulasi, Bumiputera, bukan Bumiputera, Kementerian Pendidikan, pembelajaran sepanjang hayat, institut pengajian tinggi, MQA, Agensi Kelayakan Malaysia, kuota



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.