Setelah 10 tahun bertapak sebagai pasukan mendayung Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), pasukan UTHM Barracuda kini mula tersenyum bangga apabila berjaya tampil sebagai pasukan universiti pertama mempunyai minuman rasmi jenama sendiri.

Rentetan itu, satu majlis pelancaran minuman isotonik dan air minuman rasmi Barracuda telah diadakan selepas mendapat penajaan daripada syarikat tempatan, Muar Coffee.

Pelancaran yang diadakan bersempena Majlis 10 tahun Pasukan Mendayung UTHM Barracuda itu telah disempurnakan oleh pemilik Muar Coffee, Datin Hasmalalili Zainudin bertempat di Hotel Landmark pada 22 Disember lalu.

Majlis itu merupakan salah satu inisiatif pihak penaja Muar Coffee dalam memberikan penghargaan kepada atlet dan individu yang terlibat dalam pembangunan sukan mendayung di UTHM.

Hasil penajaan tersebut, hasrat Pusat Sukan UTHM dalam merealisasikan 1 Sukan 1 Syarikat Korporat tercapai sekali gus menjadikan UTHM Barracuda sebagai pasukan universiti pertama mempunyai minuman rasmi tersendiri.

Menurut Datin Hasmalalili penajaan pihak Muar Coffee kepada pasukan UTHM Barracuda adalah lebih kepada perkongsian kerana beliau beranggapan atlet pasukan UTHM Barracuda merupakan aset negara pada masa depan selain kesungguhan mereka berjuang menaikkan nama universiti mahupun negara wajar diberi penghargaan.

"Apa salahnya kalau kita berkongsi rezeki kerana saya nampak pasukan ini mempunyai kesungguhan yang luar biasa dalam menjalani latihan dan menceburi sebarang pertandingan, ditambah pula jalinan perkongsian ini bersesuaian dengan falsafah Muar Coffee 'Membangunkan Negara Membantu Yang Termampu'.

"Pada masa yang sama sebahagian jualan minuman rasmi menerusi acara-acara terbuka ini akan terus disumbangkan kepada pasukan UTHM Barracuda menerusi jualan secara langsung oleh pihak Muar Coffee dan pasukan UTHM Barracuda sendiri," katanya.

Tambah beliau, menerusi jualan minuman rasmi di acara-acara terbuka itu, ia memberi pendedahan kepada para atlet pasukan dalam bidang perniagaan," katanya.

Majlis sambutan 10 tahun tersebut dihadiri pihak Muar Coffee, pihak pengurusan tertinggi UTHM serta ahli pasukan mendayung UTHM Barracuda bersama alumninya.

_________________________________________________________________

*Laporan ini disediakan oleh Awani Rangers, Mohd Zulfadli Rozali dan Nurul Adlihisham Mohd Sohaimi dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM). Suntingan oleh Suriayati Baharom.

**Awani Rangers ialah inisiatif Astro Awani bagi menggalakkan pelajar Institut Pengajian Tinggi untuk berkongsi cerita serta menghasilkan bahan berita dan informasi dalam era kewartawanan moden.

**Awani Rangers UTHM ialah inisiatif kerjasama strategik Astro AWANI dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).