Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menawarkan khidmat kepakaran untuk membuat kajian lebih menyeluruh berhubung penemuan terkini wabak COVID-19 yang dikatakan berisiko 'dipindahkan' melalui air sisa dalam sistem pembentungan.

Naib Canselor UTM, Prof Datuk Dr Wahid Omar dalam kenyataan berkata ia susulan penemuan oleh Rijksinstituut voor Volksgezondheid en Milieu (RIVM), sebuah institut kajian kesihatan di Belanda yang melaporkan penemuan tersebut.

Katanya perkara berkenaan masih belum dapat dipastikan tanpa kajian yang lebih terperinci dan disebabkan itu, pihaknya mengambil inisiatif untuk memantau berhubung penemuan terkini tersebut.

Beliau berkata kajian itu akan turut melibatkan saintis dan pakar penyelidik berkecimpung dalam bidang perawatan air sisa daripada makmal Metabolic Engineering and Molecular Biology (MEMO-Bio) dan Nest-Bio Venture di Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT) serta Makmal Penyelidikan Virus, Fakulti Sains UTM.

Katanya mereka akan bekerjasama dalam menjalankan proses saringan bagi mengenal pasti COVID-19 dalam sampel air sisa dengan menggunakan teknik Next Generation Sequencing (NGS).

"Kaedah ini akan dapat membantu penyelidik UTM untuk memastikan ketahanan dan pembiakan COVID-19 dalam sistem pembetungan air sisa," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mencadangkan agar perawatan air sisa dilakukan secara optimum bagi mengekang penyebaran virus COVID-19 melalui sistem pembetungan air sisa.

"Virus dikesan dalam sampel najis pesakit yang mengalami cirit-birit sebagai satu daripada simptom COVID-19 mendorong pelbagai uji kaji dan penyelidikan awal untuk membendung penyebaran virus ini daripada berleluasa," katanya.

-- BERNAMA