Dua cedera manakala 13 lagi terselamat selepas van yang membawa warga Rohingya merempuh seekor lembu di Kilometer 320.2 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan di sini, hari ini.

Dalam kejadian sekitar 4.15 pagi itu, sebuah van yang dipandu lelaki tempatan bersama 14 warga Rohingya termasuk lima kanak-kanak telah merempuh haiwan tersebut sebelum terbabas.

Ketua Polis Daerah Tapah Superintendan Som Sak Din Keliaw berkata, siasatan awal mendapati van berkenaan sedang dalam perjalanan daripada Butterworth, Pulau Pinang ke Kuala Lumpur.

“Siasatan awal mendapati sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, van berkenaan melanggar seekor lembu yang berada di lebuh raya menyebabkan ia terbabas ke bahu jalan.

“Kemalangan itu turut menyebabkan pemandu yang merupakan seorang warga tempatan dari Pulau Pinang serta seorang warga Rohingya mengalami kecederaan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Menurut Som Sak, kesemua warga Rohingya itu memiliki kad pengenalan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNCHR) dan sedang menuju ke ibu pejabat di Kuala Lumpur bagi urusan dokumentasi.

Tambahnya, lembu yang dirempuh dalam insiden itu pula mati manakala 13 lagi penumpang yang semuanya mempunyai kad UNHCR termasuk lima kanak-kanak terselamat.

“Siasatan awal mendapati punca kemalangan adalah disebabkan oleh haiwan dan disahkan oleh Pembantu Pegawai Penyiasat Sarjan Jemat Saini di lokasi kejadian,” katanya lagi.

Menurutnya, hasil semakan mendapati van terbabit didaftar atas nama sebuah agensi pelancongan.