Sebuah van yang membawa sembilan penuntut Universiti Sains Malaysia (USM) Kelantan terlibat kemalangan di Jalan Baling-Gerik dekat sini, petang Sabtu yang meragut nyawa pemandunya.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada jam 5.34 petang.

Menurutnya, van tersebut dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Kelantan sebelum dipercayai terbabas di tempat kejadian.

“Pemandu van yang berumur 50-an meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang penuntut lelaki mengalami ‘spinal injury’ dan seorang penuntut wanita patah kaki kanan,” katanya di sini.

Menurutnya, tujuh lagi penuntut hanya mengalami cedera ringan dan kesemua mereka dibawa ke Hospital Gerik untuk tindakan selanjutnya.

Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Gerik yang diketuai Shahirul Anwar Abd Azam menggunakan pemotong hidraulik untuk menyelamatkan dua penuntut yang cedera dan tersepit di dalam van.