Empat penjenayah bermotosikal bertindak merompak sebuah van syarikat keselamatan di stesen minyak di Bukit Antarabangsa, di sini petang tadi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Hamzah Alias berkata penjenayah kemudian melarikan dua guni berisi wang dalam kejadian kira kira jam 5.15 petang itu.

Siasatan awal polis mendapati , empat suspek menunggang dua motosikal itu menyerang salah
seorang petugas syarikat kawalan keselamatan dengan menghentak kepala mangsa menggunakan senapang "pump gun" dibawa mangsa.

Suspek turut melepaskan tembakan amaran ke arah anggota keselamatan itu untuk memaksa petugas terbabit menyerahkan beg berisi wang.

“Sebuah kenderaan perisai syarikat sekuriti bertujuan menghantar wang ke mesin ATM telah disamun 4 orang lelaki, disyaki Melayu dengan menaiki dua buah motosikal.

“Kita juga mendapati satu das tembakan telah dilepaskan seorang penjenayah tadi untuk mengugut pihak sekuriti tadi menyerahkan beg yang berisi wang kepada mereka sebelum mereka melarikan diri dan merampas 'pump gun' oleh anggota sekuriti,” kata ACP Hamzah.

Siasatan mendapati van keselamatan itu dalam proses memasukkan wang ke dalam mesin ATM di dalam stesen minyak berkenaan.

Suspek juga melarikan 'pump gun' anggota keselamatan sebelum dicampak kira kira 250 meter dari lokasi kejadian.

Polis masih mendapatkan maklumat jumlah wang berada dalam beg dilarikan suspek.