Dua suspek yang dipercayai terlibat menyeludup minyak petrol ke negara jiran berjaya ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna dan Pasukan VAT69 Semporna di perairan Pulau Kulapuan, pada Khamis.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah malam itu, dua suspek lelaki berumur 26 dan 45 tahun diberkas.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, ACP Mohamad Pajeri Ali berkata, ketika anggota PPM dan VAT69 menjalankan rondaan, mereka terlihat sebuah bot dalam keadaan mencurigakan.

"Sebaik ditahan dan diperiksa, anggota bertugas menemui 88 jerikin berisi petrol dalam bot.

"Suspek juga gagal mengemukakan permit dan siasatan awal mendapati minyak berkenaan dipercayai cuba diseludup ke Filipina.

"Ia disyaki suspek bergerak pada waktu tengah malam bagi mengelak daripada dikesan," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Mohamed Pajeri, setiap jerikin berisi 25 liter petrol dan keluruhan dianggarkan sebanyak 2,200 liter.

Tambahnya, petrol dan bot serta enjin turut dirampas untuk siasatan di bawah Seksyen 20 Akta Kawalan Bekalan 1961.