Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan tuduhan penglibatan anggota Kabinetnya dalam video intim bermotif memalukan individu berkenaan.

Menurut Perdana Menteri, tujuan penyebaran video itu yang mahu menteri berkenaan bercuti juga tidak digemarinya.

"Ada siasatan yang boleh dibuat melibatkan jenayah, orang berkenaan boleh disuruh bercuti. Namun faktanya ia bermotif politik dan mahu memalukan.

"Selain itu saya tidak suka cara politik begini," katanya kepada wartawan selepas menghadiri majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Jabatan Perdana Menteri, di sini pada Khamis.

Sebelum ini, Dr Mahathir berkata, beliau yakin Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, bukan individu yang dikaitkan dalam video intim yang tersebar sejak minggu lalu.

Perdana Menteri berkata, penyebaran video itu jelas bermotifkan politik dengan tujuan untuk menjatuhkan Azmin.

Dr Mahathir turut mempersoalkan individu yang mendakwa mengadakan hubungan sejenis dengan seorang lelaki yang mirip ahli politik kanan dalam video berkenaan.


Dalam pada itu, kata Dr Mahathir, sebarang keputusan mengenai video berkenaan hanya akan dilakukan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menyuarakan rasa simpatinya terhadap Mohamed Azmin yang dituduh terlibat dalam klip video seks luar tabii.


Katanya lagi, nasib yang menimpa Azmin berbeza dengan apa yang dilaluinya pada masa lalu.


Sebelum ini, Mohamed Azmin menafikan sekeras-kerasnya pembabitan beliau dalam sebuah video lucah yang tersebar sejak kelmarin dan menyifatkannya sebagai satu tuduhan jahat dan kejam.