Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyifatkan kenyataan yang dibuat Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Ab Aziz Kaprawi berhubung kemungkinan tindakan disiplin terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah hanya pandangan peribadinya (Ab Aziz) semata-mata.

Hishammuddin menegaskan kenyataan Ab Aziz itu tidak menggambarkan pandangan semua ahli MT.

Kata Hishammuddin, apa sahaja tindakan yang perlu diambil oleh Lembaga Disiplin UMNO perlulah melalui saluran yang betul.

"Itu pandangan peribadi dia (Kaprawi). Itu tidak menggambarkan pandangan saya dan ahli MT yang lain. Itu juga mungkin bukan pandangan Lembaga Disiplin.

"Kita ada saluran yang betul, kalau Lembaga Disiplin nak ambil tindakan sekalipun, mestilah kena melalui saluran yang betul," ujar Hishammuddin pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Batu di Kompleks Darul Kifayah di sini, Ahad.

Tambah Hishammuddin, berkemungkinan Jawatankuasa Disiplin tidak akan terikat kepada pandangan MT.

"Mungkin (Jawatankuasa Disiplin) ada pandangan yang lain. Kita serahlah kepada pihak-pihak yang bertanggungjawab," ujar Hishammuddin.

Ditanya berkenaan pandangan peribadi beliau terhadap kenyataan Muhyiddin dalam video tersebut, ini jawapan Hishammuddin; "Saya (sebahagian) ahli (Jawatankuasa) Pengurusan, dan biarlah saya bincang dengan (Jawatankuasa) Pengurusan".

Terbaru, video pendek berdurasi 57 saat yang dimuat naik di portal berita Malaysiakini menunjukkan, Muhyiddin sedang berbual dengan beberapa tetamu antaranya Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir di kediamannya selepas digugurkan dari Kabinet, Selasa lalu.

Dalam perbualan mereka itu, Muhyiddin dilaporkan menyebut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pernah mengakui kepadanya bahawa terdapat sejumlah besar wang dipindahkan ke akaun peribadinya.