Susulan penyebaran video bekas Timbalan Perdana Menteri yang dirakam pada hari beliau digugurkan dari senarai Menteri Kabinet.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata tidak terdapat bukti sahih yang boleh mengaitkan bekas Menteri Kabinet itu dengan dakwaan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Berdasarkan penelitian yang dibuat ke atas rakaman pendek yang disebarkan di media sosial itu, Khalid berkata ia dilihat tidak memudaratkan mana-mana pihak.

"Hanya sedikit rakaman dari perbualan yang menyebut sejumlah wang dimasukkan ke dalam akaun seseorang dan saya rasa itu tidak menimbulkan sebarang unsur yang boleh menyinggung sesiapa," katanya.

Beliau turut mempertikaikan adakah audio dari video terbabit benar seperti yang disebarkan.

Dalam perkembangan lain, beliau menambah siasatan ke atas pengasas Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown akan dijalankan susulan tuduhan yang dikeluarkan blog terbabit yang disifat melanggar undang-undang negara ini.

"Laporan polis telah kami terima semalam dan hari ini (Jumaat), jadi kita akan jalankan siasatan terhadap apa fitnah dan tuduhan tidak berasas yang dibuat oleh Claire melalui Sarawak Report.

"Siasatan akan dibuat di bawah akta 124 Kanun Keseksaan kerana cuba menimbulkan suasana ataupun menganggu gugat demokrasi berparlimen di negara ini," katanya lagi.

Terdahulu, Khalid menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing di Sabah yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Bukit Aman.

Mengulas lanjut isu video bekas Timbalan Perdana Menteri itu, Zahid berkata, biarpun rakaman itu tersebar di media sosial, kenyataan Muhyiddin itu menurutnya tidak dibuat pada saluran rasminya atau bukan dengan niatnya.

Malah tegas Zahid, pendirian Muhyiddin selaku Timbalan Presiden parti adalah jelas menyokong UMNO dan Muhyiddin turut menolak sebarang tindakan yang boleh memudaratkan parti.

"Sebenarnya pendirian beliau adalah jelas ,bahawa sebagai timbalan presiden UMNO beliau akan tetap menyokong sebarang langkah dan tindakan oleh parti malah beliau menyatakan jika ada pihak yang mahu membawa undi tidak percaya maka beliau juga akan menyokong undi tidak percaya itu agar tidak dilaksanakan.

"Maka pendirian beliau itu jelas untuk bersama kepemimpinan dan kerajaan hari ini," kata Zahid.

Jelas Zahid, kenyataan Muhyiddin itu perlu dihormati dan jasanya ketika menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri kabinet tidak harus dilupakan begitu sahaja.