Tular di media sosial video seorang penunggang motosikal terbabas akibat dilanggar sebuah kenderaan yang dipandu melulu selepas menukar laluan di sini, hari ini.

Kejadian menukar laluan dari lorong perlahan ke lorong kanan itu dipercayai berlaku di Jalan Pahang menghala ke Genting Klang berhampiran Titiwangsa pada jam 10.32 pagi.

Dalam video berdurasi 16 saat itu, pada mulanya kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Kia Sorento dirakam menukar laluan tanpa mempedulikan kenderaan dari arah belakang.

Kenderaan itu kemudian dilihat melulu ke lorong kanan lalu merempuh penunggang motosikal yang berada di bahagian kiri sebelum memecut meninggalkan mangsa yang terjatuh ke atas jalan.

Penunggang motosikal kemudian dilihat mengangkat kepalanya dipercayai bimbang kenderaan dari arah belakang merempuhnya namun kelihatan terbaring semula apabila kereta yang merakam insiden memberhentikan kenderaannya.

Kes langgar lari yang tular di media sosial tersebut ditonton ribuan pelayar dan menerima pelbagai komen netizen.

Pelayar Facebook, Lidyadianalee Lidya di ruangan komen menulis simpati terhadap nasib penunggang motosikal terlibat dengan kemalangan itu.

“Ya ALLAH kesian penunggang motor tu. Selalu penunggang motosikal jadi mangsa langgar lari. Moga tak ada kecederaan teruk. Harap PDRM dapat selesaikan kes ni secepat yang mungkin,” tulisnya.

Mann Azmie menulis insiden seolah-olah disengajakan.

“Nampak macam sengaja je (saja). Dikejar lepas tu langgar,” tulisnya di ruangan komen.