Kakitangan yang mencampak air zamzam milik Jemaah Malaysia yang baru pulang daripada umrah telah digantung kerja.

Menurut kenyataan Pos Malaysia Berhad di laman media sosial Facebook, pihaknya juga turut memohon maaf atas kejadian terpencil tersebut.

“Kami merujuk kepada video perlakuan kakitangan Pos Aviation yang kasar semasa mengalihkan kotak barangan dari karusel bagasi di KLIA seperti yang dimuat naik di Facebook.

“Siasatan awal mendapati punca kejadian itu disebabkan kesesakan teruk di bahagian karusel bagasi dan tindakan itu diambil bagi mempercepatkan proses muat turun kotak tersebut,” kata kenyataan tersebut, pada lewat petang Khamis.

Rabu lepas, tular di laman media sosial Facebook menerusi video berdurasi 12 saat yang mendakwa kakitangan KLIA mencampakkan kotak berisi air zamzam milik Jemaah yang baru pulang menunaikan umrah sekali gus mengundang kecaman netizen.

Bagaimanapun, tindakan tersebut bukanlah dibuat oleh kakitangan KLIA, ia sebenarnya dilakukan oleh kakitangan Pos Malaysia Berhad.