Program Perkongsian Inovasi Vendor (VIPP) bakal menjadi platform kepada syarikat anchor (induk) dan vendor untuk mengembangkan perniagaan secara rentas sektor, menyeluruh dan merangkumi pelbagai peringkat rantaian bekalan.

Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan (MED), Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata, penganjuran VIPP seiring Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030) untuk merealisasikan Malaysia sebagai sebuah negara keusahawanan unggul melalui pengukuhan jalinan kerjasama dan penyertaan usahawan Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) Bumiputera terutamanya syarikat vendor.

Jelasnya, keunikan VIPP adalah penglibatan syarikat anchor termasuk pemain industri utama yang berpotensi menjadi rakan strategik atau syarikat anchor yang baharu serta vendor untuk bekerjasama di dalam satu program.

"Ia antara lain untuk memberi maklum balas kepada pihak umum tentang di mana program vendor ini sekarang, ia memang diteruskan malah dipertingkatkan.

"Kita akan bawa sama beberapa anchor baharu dalam pelbagai sektor. Ini untuk menunjukkan program vendor ini memang diberi penekanan di bawah Malaysia Baharu.

"Kita juga akan meningkatkan akses vendor sedia ada kepada pelbagai anchor atau sektor," katanya semasa taklimat media sempena VIPP di sini, pada Khamis.

VIPP akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 12 hingga 13 November 2019.

Pada 2018, sebanyak 1094 syarikat vendor telah mendapat nilai perolehan sebanyak RM5.312 billion.

Jelasnya, VIPP akan diadakan secara tahunan yang menyediakan platform kepada syarikat anchor dan syarikat vendor untuk mempamerkan pencapaian dan kejayaan mereka sepanjang pelaksanaan di bawah Program Pembangunan Vendor (PPV) .

Turut hadir Ketua Pegawai Strategik dan Penjanaan Nilai Celcom Axiata Berhad, Muniff Kamaruddin dan Ketua Pegawai Kawalselia dan Pembangunan Masyarakat Celcom Axiata Berhad, Zuraida Jamaluddin.

Celcom merupakan penyumbang terbesar dalam penganjuran program kali ini dan antara anchor serta rakan strategik dalam inisiatif PPV.

Program yang menyasarkan kehadiran lebih 5,000 pengunjung dalam kalangan vendor tempatan dan pemain industri utama itu akan dirasmikan Timbalan Menteri MED, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli.

Pelbagai program telah disusun sepanjang penganjuran VIPP seperti perkongsian amalan terbaik dalam bidang perniagaan dan bicara keusahawanan, klinik kewangan dan bicara latihan keusahawanan.

Lebih 500 sesi padanan perniagaan dengan penglibatan 21 penceramah dan 16 syarikat anchor pada program itu nanti.