Kawalan kuarantin di pintu masuk udara dan laut negara diperketat bagi menghalang kemasukan daging dan produk berasaskan babi dari China.

Menurut kenyataan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), langkah ini berikutan jangkitan wabak demam babi Afrika (ASF) di negara itu.

Pelancong dilarang membawa masuk produk haiwan ke dalam negara dan selain itu pelancong ke China juga dinasihatkan tidak membuat lawatan ke ladang babi, lapor Bernama.

Kenyataan itu berkata pengusaha ladang babi di Malaysia juga dinasihatkan untuk meningkatkan biosekuriti ladang dan mengambil segala langkah pencegahan.

"DVS juga akan meningkatkan kawalan dan pemeriksaan ke atas ladang-ladang babi yang ada di Malaysia," kata kenyataan tersebut.

Sejak 12 Nov lalu, Malaysia hanya membenarkan pengimportan produk berasaskan babi dalam tin yang telah melalui proses 'retort', iaitu proses rawatan haba tinggi dan tekanan tinggi semasa memasak sahaja dari China ke Malaysia.

Kenyataan itu berkata produk lain berasaskan babi tidak dibenarkan masuk seperti 'casing' untuk 'sausage', 'slice pork meat', 'smoked ham' dan 'pork enzyme'.

DVS berkata keadaan jangkitan penyakit ASF di China agak membimbangkan berdasarkan penemuan-penemuan termasuk penyakit tersebut telah merebak ke banyak provinsi.

Ia berkata virus ASF dikesan pada "sausage" babi dari China yang dibawa oleh pelancong, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaohsiung, Taipei dan juga di utara Thailand menerusi Lapangan Terbang Chiang Rai.

Dalam pada itu, Jepun, Taiwan, Korea Selatan dan Thailand mengetatkan operasi kawalan kuarantin di pintu masuk melalui udara dan laut manakala Thailand juga melarang pengimportan babi dan produk babi ke negara itu," kata kenyataan tersebut.

Virus ASF boleh hidup lama di dalam daging babi mentah, daging babi yang dijerukkan dan sisa-sisa daging babi.

Virus ASF juga boleh hidup selama satu jam jika hanya diproses pada suhu 60?C (selama 20 minit), hidup selama berminggu jika dibiar pada suhu 25?C hingga 37?C dan bertahan selama bertahun jika disimpan pada suhu 4?C atau sejuk beku. Virus ASF menjangkiti babi tetapi tidak menjangkiti manusia.