Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam tidak menolak kemungkinan kes Rabies yang berlaku di Sarawak disebabkan oleh anjing liar yang membawa virus berkenaan dari sempadan Kalimantan.

Ia berikutan, wabak aktif rabies telah dikesan berlaku di kawasan berkenaan.

"Kita suspect mungkin kes-kes ini datang kerana sempadan kita dengan Kalimantan. Kalimantan ada satu outbreak (wabak) aktif rabies dalam kawasan ini dan Serian ini bersempadan dengan Kalimantan.

"Mungkin anjing liar yang dijangkiti virus di Kalimantan melintas sempadan negara dan datang ke kawasan Sarawak dan boleh jadi punca kepada kes Rabies ini," katanya dalam sidang media di ibu pejabat Kementerian Kesihatan di sini hari ini.

Malah katanya, Kalimantan juga sebelum ini mempunyai kes-kes jangkitan rabies.

LIHAT: Infografik: Apa yang perlu anda tahu tentang wabak rabies

Bagaimanapun, setakat ini tiada kes baru rabies direkodkan dalam negara.

"Isu ini dikawal dengan kerjasama Jabatan Veterinar Negeri Sarawak, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak dalam usaha mengawal kes-kes rabies dalam kawasan ini," katanya.

Sehingga 4 Julai lalu, terdapat 68 kes gigitan anjing dikesan di kawasan wabak daerah Serian dan kesemua mereka telah diberikan rawatan dan vaksin.

"Daripada mula sampai sekarang, 11 pasukan kesihatan dari Pejabat Kesihatan Serian bersama Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak telah mengadakan Active Case Detection Programme di 19 kampung melibatkan 2,098 pintu rumah dan 6,094 orang telah ditemuduga bagi sejarah gigitan anjing," kata beliau.

Pada masa sama, Jabatan Veterinar telah membuat kajian terhadap anjing liar dan peliharaan di seluruh kawasan terlibat.

"Mereka telah memberikan vaksinasi kepada anjing dan di dalam kawasan tertentu, di mana mereka berpendapat perlu divaksinkan," ujarnya.

Justeru, kementeriannya menasihatkan kepada orang ramai khususnya penduduk Serian mendapatkan rawatan segera di klinik dan hospital sekiranya digigit anjing dan pada masa sama memastikan anjing peliharaan mendapat suntikan vaksin.

"Jika anjing peliharaan didapati tidak sihat, atau berkelakuan agresif, dapatkan rawatan segera di klinik haiwan dan laporkan kepada jabatan veterinar yang terdekat.

"Mereka juga perlu mengekalkan tahap kebersihan yang tinggi seperti amalan kerap basuh tangan dengan air dan sabun selepas menyentuh anjing," jelasnya.

Subramaniam berkata, kementeriannya akan sentiasa memantau perkembangan kesihatan mereka yang mengalami gigitan anjing.

Semalam, dua daripada tiga kanak-kanak Rabies berusia enam dan empat tahun dari Kampung Paon, Serian telah meninggal dunia kerana virus Rabies.

Seorang lagi kanak-kanak berusia tujuh tahun dilaporkan masih kritikal dan dirawat di wad ICU Hospital Umum Sarawak.