Malaysia menyambut baik keputusan Kerajaan Arab Saudi untuk menstruktur semula visa lawatan, haji dan umrah ke negara itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof bagaimanapun berkata, kerajaan akan mengadakan perbincangan dengan Arab Saudi dalam usaha memastikan penambahbaikan berkenaan.

"Kadang-kala kita tidak ada pilihan yang banyak, sebab itu adalah dasar Arab Saudi. Kita akan cuba adakan perbincangan selepas ini saya akan ada pertemuan dengan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi di sana untuk berbincang dengan apa sahaja isu berkaitan. Namun setakat ini kita mengucapkan terima kasih banyak kepada kerajaan Arab Saudi kerana telah memudahkan semua urusan haji kita pada hari ini," katanya kepada media selepas merasmikan Logo dan Minggu Rahmatan Lil Alamin di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini pada Jumaat.

Bagaimanapun beliau menyerahkan kepada Tabung Haji (TH) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk mengambil tindakan lanjut terutama perkara melibatkan umrah.

"Ini berikutan Umrah tidak duduk bawah saya, ia duduk di bawah MOTAC. Saya rasa Menteri MOTAC lebih layak bercakap. Namun kalau mengenai haji, kita akan buat balik penilaian-penilaian tentang dasar-dasar baharu yang dikemukakan," ujarnya lagi.

Isnin lalu, Kerajaan Arab Saudi mengeluarkan perintah diraja yang menstruktur semula visa lawatan, haji dan umrah ke negara pentadbiran diraja itu termasuk pembatalan yuran mengerjakan umrah berulang.

Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Mohammad Salih Bentin, dilaporkan berkata, perintah yang dikeluarkan itu menggambarkan kesediaan pentadbiran diraja untuk meningkatkan jumlah jemaah berikutan projek infrastruktur besar-besaran dan pembangunan perkhidmatan di Makkah, Madinah dan tempat suci lain.