Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berharap lebih banyak kerajaan negeri mengadakan kempen masing-masing di peringkat negeri untuk menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia (VMY) 2020.

Beliau berkata penglibatan kerajaan negeri serta pihak-pihak berkaitan, adalah penting untuk memastikan Tahun Melawat Malaysia 2020 berkesan dan berjaya.

"Saya mengucapkan terima kasih secara khusus kepada kerajaan negeri atas sokongan mereka terutama kerajaan negeri Perak, Pahang dan Terengganu yang mengadakan kempen tahun melawat negeri masing-masing tahun lepas.

"Saya menaruh harapan untuk melihat kerajaan negeri yang lain menganjurkan kempen mereka di negeri masing-masing," kata beliau pada majlis Anugerah Pelancongan Malaysia Ke-30 di sini, pada Rabu.

Tutrut hadir Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Masidi Manjun, Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Seri Mirza Mohammad Taiyab dan pengerusi Lembaga Pelancongan Malaysia Datuk Siew Ka Wei.

Pada majlis itu, Mohamed Nazri turut menyampaikan empat anugerah khas kepada dua individu dan dua pertubuhan yang secara peribadi dipilih oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, atas sumbangan dan kedudukan cemerlang mereka dalam industri itu.

Kumpulan Sunway dipilih sebagai penerima Anugerah Perdana Menteri (organisasi) sementara Idris menerima Anugerah Perdana Menteri (individu).

Anugerah Menteri (individu) disampaikan kepada pengarah urusan Kumpulan Asian Overland Services Anthony Wong dan kategori organisasi diberikan kepada The Haven, Ipoh.

Sementara itu, sebanyak 52 anugerah juga disampaikan pada majlis tersebut, antara lain artikel pelancongan terbaik, pengusaha pelancongan tempatan dan asing terbaik, tarikan pelancongan terbaik, homestay terbaik dan pusat membeli-belah terbaik.

Antara pemenang anugerah ialah Cathay Dragon bagi syarikat penerbangan antarabangsa terbaik dan AirAsia bagi masing-masing pemenang laluan antarabangsa dan dalam negeri terbaik.

-- BERNAMA